Anda di sini

Cermin diri dulu sebelum tuduh PM hanya retorik

Advertisement


KOTA KINABALU: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony menempelak kenyataan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya retorik untuk membangunkan Sabah.

Katanya, Presiden USNO itu sepatutnya 'cermin diri' dulu sebelum meragui kesungguhan perdana menteri dalam menyelesaikan permasalahan yang ada di negeri ini.

Beliau berkata, Pandikar sebelum ini pernah berada dalam kerajaan begitu lama, namun tidak pernah lantang mengenai isu-isu yang ditimbulkannya sekarang. 

"Beri ruang kepada Perdana Menteri untuk beliau jalankan tugasnya, belum pun sampai setahun (Anwar menjadi Perdana Menteri), jadi tidak perlulah terlalu menghentam.

"Pandikar dulu begitu lama dalam kerajaan, kenapa tidak suarakan dulu? ketika dia menjadi Speaker, ketika memegang jawatan dalam kerajaan, jangan hipokrit, cermin diri dulu.

"Sebelum tagih macam-macam dengan Perdana Menteri, perkukuhkan dulu kedudukan kamu, kata kutip cukai bilion ringgit, mana pergi duit itu? Belum lagi cerita 'kambing makan pasir'," katanya dalam kenyataan, kelmarin.

'Kambing makan pasir' terbabit dipercayai merujuk kepada projek ternakan kambing di Pulau Bambangan, Kudat yang menjadi kontroversi sebelum ini.

Peter berkata demikian susulan kenyataan Pandikar yang menuntut Perdana Menteri menunaikan janji-janji kerajaan kepada Sabah dan bukan sekadar retorik.

Video kenyataan Pandikar itu turut disiarkan dalam Facebook Page rasmi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, dipercayai selepas satu program solidariti menuntut hak-hak Sabah, di Keningau, baru-baru ini.

Peter berkata, Anwar merupakan satu-satunya Perdana Menteri yang sangat komited dalam mengembalikan semula hak-hak Sabah dan Sarawak.

"Jadi kita beri beliau (Anwar) ruang, sejak beliau menjadi Perdana Menteri, sudah banyak inisiatif yang dilaksanakan, yang memberi manfaat kepada Sabah.

"Tindakan Pandikar ini seolah-olah Perdana Menteri atau kerajaan langsung tidak berbuat apa-apa," katanya.

Dalam pada itu, Peter turut menasihatkan Pandikar dan GRS supaya menyelesaikan masalah dalam mereka terlebih dahulu sebelum menghentam dan mengkritik lantang Kerajaan Perpaduan.

Katanya, GRS harus jelas dalam sokongan mereka dengan Kerajaan Perpaduan dan bukannya 'mandi dua kolam'.

"GRS menyokong Kerajaan Perpaduan tapi ada pemimpin mereka dalam barisan kepimpinan Perikatan Nasional (PN), semua tahu pemimpin itu bersama PN.

"Nyatakan dengan jelas pendirian kamu (GRS), selesai dulu masalah kamu sendiri," katanya.
 

Advertisement