Anda di sini

Kerajaan tumpu industri HGHV pacu sumbangan PMKS kepada KDNK

Advertisement
 Ewon semasa menjawab pertanyaan Roslan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
LISAN: Ewon semasa menjawab pertanyaan Roslan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan kepada industri High Growth High Value (HGHV) melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (KSP RMKe-12) bagi meningkatkan sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata industri HGHV mampu memberikan sumbangan lebih besar kepada jumlah eksport negara. 

“Sasaran sumbangan PMKS terhadap KDNK negara pada tahun 2025 disemak semula daripada 45 peratus kepada 41 peratus dalam KSP RMKe-12.

“Semakan semula ini dilaksanakan selepS mengambil kira impak pandemik COVID-19  terhadap ekonomi negara selain konflik geopolitik di antara Rusia dan Ukraine yang menyebabkan berlakunya sekatan perdagangan, gangguan kepada rantaian bekalan dan peningkatan harga komoditi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam.

Pertanyaan Roslan berkenaan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan sumbangan PMKS kepada ekonomi memandangkan sasaran sumbangan PMKS kepada KDNK untuk tahun 2025 berkurangan kepada 41 peratus di dalam KSP, RMKe-12 daripada 45 peratus dalam RMKe-12 yang asal.

Ewon berkata, pertumbuhan KDNK PMKS pada tahun 2022 mencatatkan peningkatan dua digit iaitu 11.6 peratus berbanding 1.3 peratus pada 2021 dan 5.9 peratus pada 2019.

Katanya, sumbangan PMKS kepada KDNK negara juga meningkat melebihi sumbangan pra-pandemik COVID-19 dengan nilai sumbangan sebanyak RM580.4 bilion pada 2022 berbanding RM553.4 bilion pada 2019. 

“Ini bermakna nilai sumbangan PMKS kepada KDNK semakin meningkat walaupun peratus sumbangan KDNK yang disasarkan pada 2025 disemak semula,” katanya.

Katanya, pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) berupaya meningkatkan daya saing dan penyertaan PMKS dalam rantaian nilai industri pembuatan pertumbuhan tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa.

Tambahnya bagi menyokong menyokong pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, kementerian melaksanakan pelbagai program, antaranya Program Pembangunan Vendor (PPV), Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) dan Program PKSlestari.

“PPV yang dilaksanakan oleh KUSKOP dengan MITI bertujuan untuk membangunkan keupayaan syarikat dalam sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, rel, bioteknologi dan peranti perubatan.

“PRESTIGE pula bertujuan membangun dan mengintegrasi PMKS berpotensi ke dalam rantaian bekalan industri berpertumbuhan tinggi dan Program PKSlestari yang dilaksanakan oleh SME Corporation bagi meningkatkan amalan ESG dan penggunaan teknologi hijau yang masih pada peringkat asas dan permulaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement