Anda di sini

TEKUN Nasional terima peruntukan RM330 juta

Advertisement
 Ewon (tengah) menyampaikan Anugerah Usahawan Berjaya TEKUN Sabah kepada Samsu Alam Idrus.
ANUGERAH: Ewon (tengah) menyampaikan Anugerah Usahawan Berjaya TEKUN Sabah kepada Samsu Alam Idrus.

KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menerima peruntukan sebanyak RM330 juta dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan itu adalah kemudahan pembiayaan peniaga-peniaga kecil dalam perusahaan batik dan kraf, usahawan orang Asal serta bumiputera Sabah dan Sarawak.

Katanya, daripada jumlah itu, RM30 juta diperuntukkan bagi kemudahan pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) khususnya untuk usahawan komuniti India.    

“Melalui inisiatif belanjawan ini, saya berharap Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan terus berdaya saing serta meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.

“Dengan tambahan peruntukan kepada TEKUN Nasional, diharap lebih ramai usahawan informal dan mikro yang baru memulakan atau mengembangkan perniagaan dapat dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ke-25 Tahun TEKUN Nasional, di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), di sini semalam.

Ewon berkata, secara keseluruhannya sebanyak RM44 bilion diperuntukkan kepada pelbagai agensi bagi kemudahan dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan PMKS, di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan menyedari terdapat perniagaan terutamanya PMKS terjejas akibat pandemik, justeru selaras dengan itu Belanjawan 2024 telah memberi lebih tumpuan kepada kumpulan berkenaan.

“Iltizam Kerajaan MADANI adalah untuk merangsang lebih banyak penyertaan PMKS dalam sektor keusahawanan berdaya maju dan mapan menerusi pelbagai ikhtiar.

“Ia termasuklah dana pembiayaan dan pembangunan kapasiti bagi memastikan sumbangan PMKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dapat dipertingkatkan seperti yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) iaitu peningkatan 50 peratus pada 2030,” katanya.

Beliau berkata, antara strategi kementeriannya adalah menerusi Pelan Pemformalan Usahawan Informal bagi memudah cara inisiatif migrasi usahawan informal kepada perniagaan berdaftar.

“Melalui itu, ekosistem keusahawanan sedia ada dapat diperkasakan dengan menggalakkan pendaftaran perniagaan secara sukarela serta memupuk minda keusahawanan dan pembangunan potensi usahawan informal,” katanya.

Terdahulu, majlis berkenaan dihadiri kira-kira 1,000 orang usahawan dan warga kerja TEKUN Nasional dari seluruh negara.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan Anugerah Usahawan Berjaya kepada 21 usahawan TEKUN, Anugerah TEKUN Cawangan Terbaik dan Anugerah TEKUN Negeri Terbaik.

Turut hadir, Timbalan Menteri KUSKOP Senator Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdul Sani Abdul Hamid.

  • oleh
  • Advertisement