Anda di sini

Sarawak lahir ramai jaguh Muay Thai hasil komitmen PMNS

Advertisement
Ripin bersama Jumaat, Abang Zainuddin, Muhammad Dino dan Temenggung Barry merakam gambar bersama pemenang perlawanan Superfight Pro 51 kilogram (kg) dan Superfight Pro 62 kg. - Gambar UKAS
Ripin bersama Jumaat, Abang Zainuddin, Muhammad Dino dan Temenggung Barry merakam gambar bersama pemenang perlawanan Superfight Pro 51 kilogram (kg) dan Superfight Pro 62 kg. - Gambar UKAS

BINTULU: Sarawak kini telah melahir ramai jaguh Muay Thai di peringkat dunia hasil kejohanan-kejohanan yang kerap dianjur Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, komitmen ditunjuk PMNS dalam melaksanakan pelbagai aktiviti seumpamanya untuk mengangkat martabat sukan Muay Thai di Sarawak harus dicontohi persatuan sukan lain.

"Hari ini kita boleh berbangga kerana nama Sarawak telah berada dalam peta sukan Muay Thai dunia hasil penganjuran dan penyertaan dalam kejohanan bertaraf antarabangsa secara berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks yang dibaca oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat semasa merasmikan Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak 2023 di Naim Street Mall Paragon Bintulu malam tadi.

Katanya, Sarawak akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang mana Muay Thai juga turut dipertandingkan, dengan Bintulu bakal menjadi lokasi penganjuran.

Justeru katanya, penganjuran kejohanan masa ini dilihat sangat bertepatan bagi menguji kemampuan atlet Sarawak berentap dengan peserta dalam dan luar negara.
 
Pada masa sama katanya, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Perbadanan Sukan Sarawak sentiasa menyokong usaha persatuan sukan menganjur kejohanan sukan bertaraf dunia di Sarawak.

"Penganjuran sukan itu dapat merancakkan sektor pelancongan Sarawak serta menyumbang pendapatan kepada pemain-pemain industri perhotelan, makanan, pengangkutan dan sebagainya," jelasnya.

Lebih 200 peserta melibatkan Singapura, Thailand, Filipina, Yaman dan Iran mengambil bahagian pada kejohanan edisi ke tujuh tersebut yang bermula pada 26 hingga hari ini.

Turut hadir Presiden PMNS Jumaat Ibrahim, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey, Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid
dan Temenggung Barry Yek.

  • oleh
  • Advertisement