Anda di sini

MoU ambil alih MASwings dimeterai

Advertisement
Abang Johari (berdiri, empat kanan) menyaksikan majlis menandatangani dokumen MoU antara kerajaan Sarawak, Hornbill Skyways dan MAG mengenai pengambilalihan saham MASwings, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari (berdiri, empat kanan) menyaksikan majlis menandatangani dokumen MoU antara kerajaan Sarawak, Hornbill Skyways dan MAG mengenai pengambilalihan saham MASwings, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan Sarawak, Hornbill Skyways Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group (MAG) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini mengenai pengambilalihan saham dalam MASwings Sdn Bhd. 

Majlis berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini dihadiri dan disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Dalam ucapannya, Abang Johari berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kepercayaan kepada kerajaan Sarawak untuk mengambil alih MASwings. 

"Saya memberitahu Perdana Menteri saya perlukan dua syarat sahaja, pertama tidak  boleh terbang dalam Borneo sahaja dan kedua tidak boleh menekankan keuntungan sahaja. 

"Kita mesti memberikan mereka (penumpang) tambang yang berpatutan asalkan dapat menampung kos.  

"Apa yang penting ialah jangan nilai dari segi angka sahaja tetapi faedah ketara daripada sistem pengangkutan ini," ujarnya. 

Mengambil contoh sistem pengangkutan Autonomous Rapid Transit (ART), Abang johari berkata beliau tidak menjangkakan untuk menjana keuntungan daripada ART tetapi ia adalah sebahagian daripada infrastruktur yang akan menjana pertumbuhan ekonomi kepada rakyat. 

"Tanggungjawab kerajaan menyediakan infrastruktur dan sebab itu saya memberitahu Perdana Menteri kami perlukan penerbangan ini (MASwings)," katanya.

Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Pengerusi MAG Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta yang lain. 

Sementara itu, Abang Johari yang ditemui selepas majlis itu berkata, laluan penerbangan akan ditambah luar daripada Borneo selesai pengambilalihan MASwings kelak. 

Ia katanya, meliputi laluan penerbangan dengan perjalanan enam hingga tujuh jam termasuk Korea, Jepun, Hong Kong, India dan bahagian utara Australia. 

"Modelnya lain daripada penerbangan lain. Kita tidak perlu guna banyak pesawat asalkan sentiasa melakukan penerbangan," jelasnya. 

Abang Johari turut memberi masa tiga bulan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk menyelesaikan proses pengambilalihan sepenuhnya MASwings bagi memulakan penerbangan tahun depan. 

Abang Johari turut berkata, Sarawak mempunyai pengalaman dalam industri penerbangan di mana Syarikat Hornbill Skyways milik penuh kerajaan Sarawak telah mengendalikan perkhidmatan penerbangan sejak 1977. 

Oleh itu katanya, kerajaan Sarawak memberi mandat kepada Hornbill Skyways untuk mengambil alih pemilikan MASwings dan mengendalikan perkhidmatan penerbangan luar bandar di Sarawak dan Sabah. 

Abang Johari juga percaya sinergi kolaboratif antara Hornbill Skyways dan MASwings sudah tentu dapat memberi perkhidmatan penerbangan lebih baik dan lancar di Sarawak dan Sabah. 

Selain itu katanya, ia akan membuka peluang untuk meneroka perkhidmatan penerbangan yang lebih luas di peringkat wilayah dan global.  
 

  • oleh
  • Advertisement