Anda di sini

Lelaki dipenjara 10 bulan kerana bakar kertas depan kedai buah hingga kebakaran merebak

Advertisement
Tertuduh keluar dari kamar mahkamah sambil diiringi polis selepas dijatuhkan hukuman.
Tertuduh keluar dari kamar mahkamah sambil diiringi polis selepas dijatuhkan hukuman.

KUCHING: Padah membakar kertas di hadapan sebuah kedai buah dan menyebabkan kebakaran merebak sehingga menimbulkan kerugian RM5,000, seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.  

Hakim Saiful Bahari Adzmi menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulkipli Junaidi, 31, selepas dia mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kedai buah di Jalan Padungan di sini pada 19 Oktober lalu sekitar jam 10.50 malam.

Berdasarkan fakta kes, pemilik kedai iaitu seorang warga emas lelaki (pengadu) dihubungi pekerjanya yang memaklumkan meja di hadapan kedai miliknya terbakar. 

Apabila pengadu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pengadu mendapati kebakaran itu dimulakan oleh seorang lelaki (tertuduh). 

Semasa pengadu tiba di kedai pada malam itu juga, pengadu mendapati pihak bomba berada di tempat kejadian dan telah memadamkan api. 

Pengadu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian dan siasatan membawa kepada penangkapan tertuduh pada 22 Oktober. 

Siasatan lanjut mendapati tertuduh melakukan khianat menggunakan api dengan sengaja membakar kertas di tempat kejadian sehingga menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan lain. 

Tertuduh tidak diwakili peguam sementara pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fauzan Zamri.
 

  • oleh
  • Advertisement