Anda di sini

Budayakan koperasi, bantu tingkat kesedaran usahawan

Advertisement
 Ewon (kanan) sempat beramah mesra dengan penduduk kampung yang hadir pada majlis itu.
MESRA: Ewon (kanan) sempat beramah mesra dengan penduduk kampung yang hadir pada majlis itu.


 
KOTA BELUD: Pembudayaan koperasi dalam masyarakat dapat meningkatkan kesedaran keusahawanan dalam kalangan komuniti.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program pembudayaan koperasi yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di kawasan Kadamaian amat dialu-alukan dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Program seumpama ini wajar dilaksanakan di peringkat agensi agar maklumat terkini, seperti insentif kerajaan dapat disampaikan terus ke akar umbi. 

"Sebagai sebuah Keluarga Madani, kita perlu saling membantu agar kemuafakatan dan kebersamaan terpelihara di bawah satu bumbung.

"Ke arah konsep 'Membudayakan Masyarakat Berkoperasi', ia bertepatan dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh SKM untuk melahirkan masyarakat berilmu keusahawanan melalui koperasi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi Peringkat Zon Ulu Wariu (NATESA) Kampung Nahaba di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar; Pengarah SKM Negeri Sabah Matias Kundapin dan wakil-wakil agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan para pemimpin setempat.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan melalui Program Tanggungjawab Sosial Masyarakat (CSR) SKM berupa kanopi kepada wakil peniaga-peniaga Tamu Tradisi Komuniti Kawasan Kadamaian dan bantuan bakul makanan kepada gerakan koperasi di Kota Belud.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut menyeru penduduk Zon Ulu Woriu yang belum menjadi mana-mana anggota koperasi supaya berusaha menubuhkan koperasi keluarga, koperasi pelancongan atau koperasi pertanian.

“Penglibatan dalam koperasi bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada ekonomi dalam kalangan ahli-ahlinya tetapi berupaya membangunkan sosio ekonomi di kawasan kampung yang pasti memberi manfaat kepada semua penduduk setempat. 

“Masyarakat menyedari kepentingan berkoperasi dan menjadikan platform koperasi bukan sekadar tempat berniaga dan perkembangan ilmu pengetahuan tetapi sebagai penyatuan dan pembangunan ekonomi masyarakat," jelasnya. 

Ewon berkata, proses penubuhan sesebuah koperasi juga dipermudahkan iaitu lima orang yang mempunyai kemahiran atau bidang perniagaan yang sama kini boleh menubuhkan koperasi.

"Kita menambah baik pengurusan permohonan pendaftaran koperasi iaitu hanya lima orang yang mempunyai aktiviti yang sama sudah boleh menubuhkan sebuah koperasi," katanya.

Justeru, pihaknya berharap program berkenaan dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat Kadamaian mengenai potensi perniagaan dalam koperasi.
 

Advertisement