Anda di sini

Tiada bukti pembunuhan presiden saumaah ada kaitan dengan anti-Semitisme: Polis 

Advertisement
Anggota polis berkawal di luar rumah lokasi pembunuhan Samantha Woll yang ditemui mati  ditikam di Detroit. — Gambar AFP
Anggota polis berkawal di luar rumah lokasi pembunuhan Samantha Woll yang ditemui mati  ditikam di Detroit. — Gambar AFP


                                
DETROIT: Pihak polis yang menyiasat kes seorang presiden saumaah AS mati ditikam menyatakan kelmarin bahawa tiada bukti mengaitkan kejadian tersebut bermotifkan anti-Semitisme.

Ketua polis Detroit James White dalam satu kenyataan ringkas mengatakan bahawa pasukannya sedang menemu bual “beberapa orang individu dengan maklumat yang mungkin akan meneruskan siasatan” mengenai kematian Samantha Woll. Beliau bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut.

“Tiada bukti mencadangkan bahawa jenayah ini adalah bermotifkan  fahaman anti-Semitisme,” menurut White.

Beliau menyatakan pihak FBI sedang membantu polis Detroit dan meminta agar bersabar ketika siasatan diteruskan.

“Semua perkara yang dapat dilakukan untuk membawa kes ini kepada satu keputusan sedang digunakan,” jelas White.

Woll mengetuai Isaac Agree Downtown Synagogue, yang berkhidmat di metropolitan Detroit. 

Pembunuhan berlaku ketika ketegangan meningkat dalam komuniti Yahudi dan Islam di seluruh Amerika Syarikat berhubung dengan perang Israel-Hamas, yang telah meragut ribuan nyawa pada tahun ini.

Kakitangan kecemasan menemui Woll meninggal dunia di luar kediamannya dengan beberapa kesan tikaman, kata polis dalam satu kenyataan pada Sabtu lepas. Satu kesan darah membawa anggota polis ke rumah Woll, “di mana lokasi jenayah dipercayai berlaku.”

Woll, yang mengetuai saumaah itu sejak 2022 juga bergiat aktif dalam hal ehwal Parti Demokratik, bekerja untuk anggota kongres Elissa Slotkin dan terlibat dalam kempen untuk Peguam Negara Michigan Dana Nessel, menurut Detroit Free Press.

“Saya berasa sangat terkejut, sedih dan takut ketika mengetahui tentang pembunuhan kejam Sam. Sam merupakan seorang yang sangat baik pernah saya kenali,” Nessel menyatakan dalam X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Slotkin, yang berkhidmat sebagai seorang pegawai CIA sebelum menyertai Kongres, menyatakan Woll cuba untuk membentuk “persefahaman menerusi kepercayaan, membawa cahaya dalam kegelapan.”

Free Press menyatakan Woll telah aktif dalam sebuah pertubuhan akar umbi bertujuan untuk membentuk hubungan antara golongan muda Islam dan Yahudi.

Seorang anggota beragama Islm dalam Dewan AS mewakili kawasan Detroit, Rashida Tlaib, menyatakan Woll sebagai seorang teman dan berkata beliau terkejut dengan pembunuhan tersebut.
“Saya tidak dapat berkata apa-apa,” Tlaib menyatakan dalam Facebook.  – AFP


 

Advertisement