Anda di sini

Monaco rampas kembali status jadi pendahulu Ligue 1 Perancis 

Advertisement
Sebahagian daripada babak aksi perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Monaco dan Metz di Stadium Louis II. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak aksi perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Monaco dan Metz di Stadium Louis II. — Gambar AFP

PARIS: Aleksandr Golovin menjaringkan dua gol ketiga Monaco bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Metz 2-1 dan merampas kembali pendahulu Ligue 1 Perancis sementara Lyon menghuni tangga terbawah liga apabila masih tanpa kemenangan pada Ahad.

Monaco memulakan perlawanan hujung minggu dengan berada di tangga teratas liga tetapi kemenangan buat Paris Saint-Germain (PSG) dan Nice menyebabkan mereka tercicir ke tangga ketiga.

Lamine Camara mengejutkan Monaco apabila meletakkan Metz di hadapan seawal minit keempat.

Tetapi Monaco tidak cemas dan hampir mengikat kedudukan menerusi cubaan Mohamed Camara sebelum Golovin akhirnya mengikat kedudukan pada minit ke-42.

Golovin menjaringkan satu tendangan percuma cantik pada awal separuh masa kedua untuk meletakkan Monaco di hadapan buat kali pertama dan selepas itu mereka berjaya mempertahankan kedudukan tanpa banyak masalah.

Kemenangan melonjak Monaco kembali ke tangga teratas dengan kelebihan satu mata berbanding pencabar terdekat, Nice, sementara PSG kurang satu lagi mata di tangga ketiga.

“Kami mempunyai banyak yang perlu dilakukan, banyak perkara dalam  posisi tertentu,” kata jurulatih Monaco, Adi Huetter, yang menggantikan Philippe Clement sebagai jurulatih Monaco sebelum bermulanya musim baharu.

“Semasa perlawanan, saya tidak tenang tetapi saya sangat gembira kerana kami mendahului liga, dengan tiga kemenangan berturut-turut.”

Permulaan musim yang buruk buat Lyon berterusan apabila bekas juara liga tujuh kali berturut-turut itu tewas 1-2 di tempat sendiri kepada Clermont, kelab yang menghuni tangga  terbawah liga sebelum ini.

Skuad kendalian Fabio Grosso itu masih tanpa kemenangan dalam sembilan perlawanan liga musim ini dan mereka hanya mengutip tiga mata selepas beberapa bulan bermasalah.

Lyon ketinggalan 0-2 sebelum rehat menerusi gol Muhammed Cham dan Yohann Magnin untuk meletakkan Clermont di landasan kemenangan pertama mereka musim ini.

Gol sendiri Florent Ogier pada awal separuh masa kedua memberikan Lyon harapan namun mereka gagal menjaringkan gol penyamaan dan sekarang berkongsi rekod gol paling kurang bersama-sama Clermont dengan hanya tujuh gol dalam liga.

Pada perlawanan lain, Lille menewaskan Brest 1-0 menerusi gol awal Yusuf Yazici, sekali gus membolehkan mereka memintas Brest ke tangga keempat dengan perbezaan gol.

Toulouse dan Reims seri 1-1 sementara Nantes menewaskan Montpellier 2-0.

Pada Sabtu, PSG membelasah Strasbourg 3-0 sementara Nice menewaskan Marseille 1-0. — AFP

Advertisement