Anda di sini

Filipina panggil duta China berhubung pertembungan kapal

Advertisement
Gambar yang diambil oleh Pengawal Pantai China ini menunjukkan pertembungan dengan bot penghantar barang Filipina di Second Thomas Shoal. — Gambar AFP
Gambar yang diambil oleh Pengawal Pantai China ini menunjukkan pertembungan dengan bot penghantar barang Filipina di Second Thomas Shoal. — Gambar AFP


                                
MANILA: Manila memanggil duta Beijing berhubung dua pertembungan antara kapal-kapal Filipina dan China di Laut China Selatan yang menjadi rebutan kelmarin, demikian menurut seorang pegawai kementerian luar negara tersebut.

“Kami telah menggunakan sepenuhnya proses diplomatik... yang ada buat kita. Itu termasuk memanggil duta China, seperti mana yang kita lakukan pada pagi ini,” jurucakap kementerian luar negara Teresita Daza memberitahu wartawan.

Filipina dan China saling menuduh bagi insiden berhampiran Second Thomas Shoal di Pulau Spratly kelmarin. 

Dua pertembungan berlaku ketika perjalanan rutin menghantar bekalan kepada pasukan tentera Filipina yang ditempatkan di sebuah kapal tentera laut terkandas di atas beting bagi mengawasi tuntutan wilayah Manila.

Satu pasukan petugas kerajaan Filipina menyatakan kelmarin “tindakan sekatan berbahaya oleh kapal 5203 milik Pengawal Pantai China telah menyebabkan ia bertembung dengan bot menghantar bekalan tempatan milik Filipina” kira-kira 25 kilometer (15 batu) dari beting.

China menyatakan “pertembungan ringan” berlaku selepas bot menghantar bekalan itu tidak mengendahkan “beberapa amaran dan sengaja melalui pihak penguat kuasa undang-undang dengan cara yang tidak profesional dan berbahaya”, badan penyiaran negara CCTV melaporkan kelmarin, memetik kementerian luar negara.

Dalam satu lagi insiden, sebuah kapal pengawal pantai Filipina yang mengiringi misi menghantar bekalan rutin juga telah “dilanggar” oleh apa yang dikatakan oleh pasukan petugas Filipina sebagai sebuah “kapal Militia Maritim China.”

Bagaimanapun, China, menuduh bot Filipina sebagai “sengaja” mencetuskan masalah dengan berundur “secara terancang” ke arah sebuah kapal nelayan China. - AFP

Advertisement