Anda di sini

F1: Kemenangan ke-50 dalam karier

Advertisement
Verstappen keluar dari keretanya untuk berlumba dalam perlumbaan Formula 1 Grand Prix AS di Litar The Americas di Austin, Texas. — Gambar AFP 
Verstappen keluar dari keretanya untuk berlumba dalam perlumbaan Formula 1 Grand Prix AS di Litar The Americas di Austin, Texas. — Gambar AFP 

AUSTIN: Juara dunia tiga kali, Max Verstappen, melengkapkan kemenangan hatrik di Texas pada Ahad apabila memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) yang ke-50 dalam kariernya dalam satu perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat yang sengit dan penuh strategi.

Pemandu berusia 26 tahun dari pasukan Red Bull yang bermula di petak keenam itu, berjaya memintas pemandu lain untuk mengawal perlumbaan dan menamatkannya dengan kelebihan 2.225 saat berbanding pesaing terdekat, Lewis Hamilton dari pasukan Mercedes.

Verstappen, yang memenangi perlumbaan pecut yang ketiga berturut-turut di Qatar, berkata: “Bermula dari petak keenam menjadikan semuanya sedikit sukar.

“Kemenangan ke-50 adalah sangat hebat dan untuk melakukannya di sini, saya berasa sangat bangga. Sekarang kami akan terus memburu lebih banyak lagi kemenangan.”

Lando Norris, pada perlumbaan Grand Prix ke-100, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk pasukan McLaren selepas satu perlumbaan di mana dia memintas pemandu di petak pertama, Charles Leclerc dari pasukan Ferrari  untuk mendahului perlumbaan. Di belakangnya ialah Carlos Sainz dari pasukan Ferrari, Sergio Perez dari pasukan Red Bull dan Leclerc.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut Verstappen di Sirkit America dan membolehkannya menyamai pencapaian rekod 15 kemenangan musim lepas.

Dia kini jauh mendahului senarai keseluruhan kategori pemandu dengan kelebihan 228 mata berbanding Perez.

“Saya fikir dalam keseluruhan perlumbaan, saya bergelut dengan brek,” tambah Verstappen, yang menerima cemuhan dari satu kumpulan penonton.

Hamilton mengucapkan tahniah kepada Red Bull dan Verstappen di atas prestasi dan musim yang tanpa masalah.

“Kami cuba mengejar pada akhir perlumbaan dan saya mempunyai harapan tetapi kami memerlukan lebih banyak pusingan sebenarnya,” kata Hamilton.

Norris menambah: “Mendahului perlumbaan, kami cuba mengawalnya tetapi ia tidak memadai hari ini. Saya gagal mempertahankan kedudukan itu.”

George Russell, juga pada perlumbaan ke-100, menduduki tempat ketujuh untuk pasukan Mercedes, di hadapan Pierre Gasly dari pasukan Alpine dan Lance Stroll, yang bermula di lorong pit untuk pasukan Aston Martin.

Yuki Tsunoda melengkapkan 10 pasukan teratas yang menamatkan perlumbaan untuk pasukan Alpha Tauri dan memperolehi satu mata bonus untuk catatan satu pusingan terpantas.

Perlumbaan bermula dengan 16 kereta di atas litar dan empat di lorong pit, dengan pasukan Aston Martin dan Haas melakukan pertukaran persiapan enjin.

Suhu mencecah 29 darjah Selsius sementara suhu litar pada 40 darjah, sesuatu yang sukar untuk tayar.

Norris bermula dengan cemerlang apabila memintas Leclerc pada selekoh pertama permulaan perlumbaan dengan Sainz berjaya memintas Hamilton untuk kedudukan ketiga dan Verstappen berjaya naik satu tempat ke kedudukan kelima dari petak keenam.

Norris berjaya menjarakkan kedudukan dengan kelebihan dua saat berbanding Russell pada pusingan ketiga sebelum Hamilton memintas Sainz untuk merampas kembali kedudukan ketiga pada selekoh ke-12.

Pada pusingan ke-11, Verstappen memulakan usaha untuk mengejar Norris apabila berjaya memintas Leclerc pada selekoh ke-12.

Verstappen adalah pemandu pertama dari kelompok hadapan yang memasuki pit untuk menukar tayar pada pusingan ke-16 dan kembali semula ke litar di kedudukan kesembilan.

Norris memasuki pit tidak lama selepas itu untuk membolehkan Hamilton mendahului kedudukan walaupun Hamilton memasuki pit pada pusingan ke-21 dan kembali semula di kedudukan kelima di belakang Verstappen, satu isyarat jelas bahawa Mercedes mengambil risiko dengan hentian pit terlalu lewat.

Norris kembali mendahului perlumbaan tetapi dua saat di hadapan Verstappen, yang mengadu masalah brek pada keretanya namun enggan mengalah dan berjaya mendahului perlumbaan pada pusingan ke40.

Dalam cuaca yang panas, keberkesanan tayar memainkan peranan penting dan ia memberikan kelebihan kepada pasukan yang bijak mengatur strategi.

Pada pusingan ke-49, selepas dihalang oleh Norris, Hamilton berjaya menduduki tempat kedua dengan ketinggalan 5.2 saat di belakang Verstappen dan berbaki tujuh pusingan.

Walaupun dia berjaya merapatkan kedudukan pada saat akhir, ia tetap tidak memadai untuk menafikan kemenangan ketiga berturut-turut Verstappen di Austin. — AFP

Advertisement