Anda di sini

Warga KUSKOP dan agensi perlu jadi pemudahcara permohonan usahawan

Advertisement
 Ewon (kanan) ketika dalam wawancara itu.
BERBICARA: Ewon (kanan) ketika dalam wawancara itu.

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi-agensinya menjadi pemudahcara permohonan usahawan, peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara.

Beliau berkata, ia penting bagi memastikan peruntukan yang disediakan untuk kementeriannya dalam Bajet 2024, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasaran.

“Sebesar manapun belanjawan itu, sekiranya tidak sampai kepada golongan sasaran, sudah tentu mereka tidak mendapat manfaat daripada belanjawan itu. Sebab itu saya dan kementerian saya akan menjayakan sepenuhnya belanjawan yang disalurkan kepada kementerian dan agensi-agensi kementerian. 

“Untuk menjayakan ini, saya mahu warga kementerian dan agensi jadi pemudahcara. Kita mesti ‘facilitate’, bukan ‘frustate’ permohonan para usahawan yang datang mengemukakan permohonan pembiayaan. 

"Misalnya, jika terdapat lima kriteria dan pemohon itu hanya memenuhi tiga kriteria, maka kita kena bimbing mereka bagaimana boleh memenuhi kriteria-kriteria yang selebihnya,” katanya.

Beliau berkata, demikian dalam program wawancara Jendela Fikir ‘Belanjawan 2024: KUSKOP Merealisasikan Ekonomi MADANI, di Bernama Radio, kelmarin.

"Kriteria diwujudkan bukan untuk menyusahkan pemohon, tetapi kita mahu setiap belanjawan yang diperuntukkan dapat digunakan sebaik-baiknya supaya tiada ketirisan dan pembaziran.

"Bagaimanapun, kita perlu jadi pemudahcara agar setiap usahawan dibimbing ke arah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Mengenai Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD) yang dijalankan secara rintis di 41 daerah termasuk tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah, Ewon gembira kerana kerajaan-kerajaan negeri lain di negara ini turut meminta ia diperluaskan ke daerah-daerah negeri mereka.

“MPUKPPD dipengerusikan oleh Pegawai Daerah atau Yang Dipertua Majlis Perbandaran diwujudkan untuk menangani pelbagai isu membabitkan penjaja dan peniaga kecil, misalnya isu perlesenan, premis perniagaan, penguatkuasaan dan pembiayaan.

“Selepas saya bermesyuarat dengan exco-exco mewakili kerajaan negeri seluruh negara dalam Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional, mereka meminta supaya ia dikembangkan di negeri masing-masing.

“Saya bangga kerana apa yang kita mulakan itu mendapat permintaan daripada kerajaan-kerajaan negeri lain,” katanya.

Ewon berkata, majlis itu ditubuhkan kerana kementerian mahu isu penjaja dan peniaga kecil ditangani di peringkat daerah oleh pelbagai agensi dan jabatan berkaitan penjaja dan peniaga kecil di daerah berkenaan.

“Setiap daerah mempunyai masalah yang berbeza, banyak masalah yang sama tetapi ada keunikannya tersendiri dan perlu diselesaikan mengikuti keperluan peniaga atau penjaja di kawasan itu.

“Oleh itu di peringkat saya, tanggungjawab Kementerian ialah menyediakan pembiayaan, membangunkan dasar, membuat pemantauan dan menerima input atau cadangan daripada majlis itu di seluruh negara,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement