Anda di sini

Tujuh wanita selamat dari jadi mangsa pemerdagangan manusia

Advertisement
 Antara wanita warga Filipina yang diselamatkan dari menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
MANGSA: Antara wanita warga Filipina yang diselamatkan dari menjadi mangsa pemerdagangan manusia.Gambar ihsan IPD Labuan

LABUAN: Seramai tujuh wanita warga Filipina berjaya diselamatkan pihak polis melalui Op Pintas dari menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kesemua mangsa terbabit berumur dalam lingkungan 25 hingga 33 tahun.

Katanya, mereka dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa bekerja di sebuah premis hiburan dalam kawasan bandar di sini.

Menurutnya, pada 13 Oktober lepas, pihak polis menerima aduan kejadian pemerdagangan manusia melibatkan dua wanita warganegara Filipina di sebuah hotel di sini.

"Maklumat awal diterima daripada pihak kedutaan Filipina di Kuala Lumpur yang menerima panggilan daripada mangsa memohon untuk diselamatkan.

"Kedua-dua mangsa menghubungi pihak kedutaan setelah melarikan diri daripada tempat penginapan mereka. 

"Tindakan pihak polis melalui OP Pintas berjaya menyelamatkan keseluruhan tujuh wanita warga Filipina yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, dua lagi individu iaitu lelaki tempatan dan wanita warga Filipina turut ditangkap untuk membantu siasatan. 

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mangsa dipaksa bekerja sebagai pelayan di premis hiburan berkenaan. 

"Permohonan perintah reman ke atas dua tangkapan dari Mahkamah Majistret Labuan dibenarkan selama enam hari bermula 15 Oktober hingga 20 Oktober 2023 dan siasatan masih diteruskan.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM)," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah mahupun aktiviti pemerdagangan manusia kepada pihak polis.
 

  • oleh
  • Advertisement