Anda di sini

Bapa ugut anak guna pisau dihukum penjara 12 bulan

Advertisement
 Tertuduh diiring keluar untuk menjalani hukuman penjara selepas prosiding mahkamah dijalankan.
BERSALAH: Tertuduh diiring keluar untuk menjalani hukuman penjara selepas prosiding mahkamah dijalankan.

TAWAU: Seorang bapa dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap anaknya, Ogos lalu

Majistret Don Stiwin Malanjun menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh berusia 32 tahun atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut pertuduhan, tertuduh yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri didakwa melakukan perbuatan itu pada 4 Ogos lepas kira-kira jam 9 pagi di sebuah rumah di Jalan Tiku.

Tertuduh telah melakukan ugutan jenayah terhadap anak lelakinya yang berusia 13 tahun untuk menakutkannya dengan mengacukan sebilah pisau.

Difahamkan tertuduh dipercayai melakukan perbuatan itu susulan terdengar satu bisikan, namun tertuduh disahkan tidak mengalami isu kesihatan mental.

Tertuduh dalam rayuannya memohon supaya hukumannya diringankan dengan alasan telah insaf dan menyesal dengan perbuatannya itu.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama 12 bulan dan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 4 Ogos lalu.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement