Anda di sini

Rumah terbakar, OKU lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

Advertisement
 Pasukan operasi menjalankan kerja pemadaman bagi mengelak api merebak.
OPERASI: Pasukan operasi menjalankan kerja pemadaman bagi mengelak api merebak.

TAWAU: Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) bersama empat keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Tanjung Batu Tengah, di sini, musnah terbakar, pagi tadi

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, semua mangsa terbabit berjaya menyelamat diri dan keluar dari rumah mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.53 pagi.

Katanya, seramai 19 orang anggota dan pegawai bersama empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.

“Operasi turut dibantu lima anggota Bomba Komuniti Kampung Titingan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal sudah musnah terbakar,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi bertindak segera mengawal dan memadam kebakaran menggunakan dua aliran dari sumber air jentera tangki.

Katanya, pasukan operasi berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan rumah dan masjid berhampiran kira-kira jam 9.45 pagi.

“Kita difahamkan terdapat lima orang mangsa termasuk seorang OKU berusia 45 tahun berada di dalam rumah berkenaan ketika kebakaran berlaku.

“Setakat ini, kebakaran hanya melibatkan kemusnahan harta benda sahaja, tiada sebarang laporan mengenai kehilangan jiwa dan kecederaan berlaku,” katanya.

Jemishin berkata, pihaknya berjaya menamatkan operasi pada jam 11.18 pagi selepas menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kebakaran.

“Kami akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement