Anda di sini

Program TUBE berjaya melatih 7,238 usahawan belia

Advertisement
 Rizal menyampaikan ucapan pada Sesi Interaksi Bersama Alumni Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Sarawak 2023 di Kuching.
SUNTIK SEMANGAT: Rizal menyampaikan ucapan pada Sesi Interaksi Bersama Alumni Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Sarawak 2023 di Kuching.

KUCHING: Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) telah berjaya melatih sejumlah 7,238 usahawan belia di seluruh negara sejak dilaksanakan pada tahun 2014 oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 Rizal (dua kiri), Dr. Ripin (tiga kiri) merakamkan kenangan bersama alumni TUBE Sarawak yang berjaya, Syarifah Nurfaizah (dua kanan) pada Sesi Interaksi Bersama Alumni Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Sarawak 2023 di Kuching.
MOGA TERUS BERJAYA: Rizal (dua kiri), Dr. Ripin (tiga kiri) merakamkan kenangan bersama alumni TUBE Sarawak yang berjaya, Syarifah Nurfaizah (dua kanan) pada Sesi Interaksi Bersama Alumni Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Sarawak 2023 di Kuching.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, program TUBE dilaksanakan dengan objektif untuk menggalakkan golongan belia, khususnya belia Bumiputera menceburi bidang perniagaan. 

Selain itu katanya, program TUBE juga bertujuan membentuk jati diri dan anjakan paradigma fikiran daripada pencari pekerjaan kepada penyedia peluang pekerjaan (pemilik perniagaan). 

“Daripada keseluruhan peserta TUBE yang berjaya dilatih, seramai 7,041 peserta berjaya mendaftarkan perniagaan masing-masing serta telah berjaya mewujudkan sebanyak 13,866 peluang pekerjaan baharu. 

“Di Sarawak sahaja, seramai 728 peserta berjaya dilatih dengan 695 daripadanya berjaya mendaftarkan perniagaan mereka serta mewujudkan sebanyak 1,439 peluang pekerjaan baharu,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Interaksi Bersama Alumni Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Sarawak 2023 di Hotel Waterfront di sini pada 1 Oktober lalu yang dihadiri Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dr. Ripin Lamat. 

Ujar Rizal lagi, jumlah keseluruhan nilai jualan terkumpul terkini yang berjaya dijana oleh peserta TUBE di seluruh negara adalah sebanyak RM154.38 juta dengan peserta TUBE Sarawak mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM9.6 juta. 

“Program TUBE ini pada mulanya melibatkan tempoh pelaksanaan selama setahun melibatkan tiga fasa iaitu Fasa 1, latihan fizikal secara ‘boot camp,’ diikuti Fasa 2, bengkel asas perniagaan dan Fasa 3, bantuan geran memulakan perniagaan (RM15,000) serta fasa bimbangan serta khidmat nasihat melalui Sistem Buddy selama 12 bulan. 

“Namun setelah pandemik COVID-19 melanda dunia pada tahun 2020, latihan Fasa 1 dan 2 telah disatukan dan ditukar kepada modul latihan dalam talian bagi memastikan program ini dapat diteruskan sekali gus membantu bakal usahawan belia.

“Namun, alhamdulillah, baru-baru ini program TUBE TVETMARA telah berjaya dilaksanakan secara fizikal pada 31 Julai hingga 4 Ogos lalu, bertempat di MARA Japan Industrial Institute (MJII) Beranang, Selangor. 

“Seramai 55 peserta yang terdiri daripada pelajar dan graduan daripada pelbagai institusi kemahiran dan teknikal MARA telah berjaya menamatkan latihan keusahawanan lanjutan dengan jumlah keseluruhan Geran Pengembangan Perniagaan yang berjaya dilulus dan disalurkan sebanyak RM1.1 juta,” katanya. 

Jelas Rizal lagi, selain program TUBE TVETMARA, satu lagi program iaitu program TUBE 9.0 juga telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian daripada 6 hingga 15 September lalu. 

Katanya, seramai 500 peserta belia dari seluruh negara dengan 36 peserta adalah dari Sarawak, telah berjaya menamatkan latihan asas keusahawanan dan berpeluang untuk menerima penyaluran Geran Perniagaan maksimum sehingga RM30,000. 

Menurut beliau lagi, pelaksanaan TUBE 9.0 tahun ini telah mendapat suntikan dana tambahan melalui dana Program Pengukuhan Mikro MADANI di bawah kerangka Ekonomi MADANI di mana kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana untuk membangun dan memperkasakan sektor perusahaan mikro.

“Bantuan kepada alumni TUBE atau TUBErs yang berpotensi tidak terhenti di sini sahaja di mana SME Corp. Malaysia juga menyediakan bantuan pembiayaan yang seterusnya seperti Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP). 

“Program ini bertujuan meningkatkan kapasiti perniagaan usahawan Bumiputera ke satu tahap yang lebih tinggi agar dapat bersaing dan memperoleh kualiti setanding dengan produk dan perkhidmatan yang terkenal dan berjenama di pasaran,” katanya. 

SME Corp. Malaysia kata Rizal, juga telah melaksanakan satu kaji selidik penilaian keberkesanan program TUBE di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang menunjukkan majoriti iaitu 94.7 peratus daripada responden menyatakan perniagaan mereka masih beroperasi dengan 83.2 peratus kekal dalam operasi perniagaan seperti dalam pelan perniagaan yang dibentangkan semasa mengikuti program. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), YB Dr. Ripin Lamat berharap pada masa hadapan, Sarawak melalui kerjasama strategik MYSED dan SME Corp. Malaysia, dapat menganjurkan lebih banyak program keusahawanan belia di Sarawak untuk memberi peluang pendedahan kepada usahawan belia dari kawasan bandar dan luar bandar Sarawak khususnya.
 
Beliau turut menggesa agar semua usahawan belia TUBERs Sarawak terus menerokai pelbagai bidang terutamanya industri berpertumbuhan tinggi (high growth industry) pada masa hadapan seperti bidang peranti perubatan, aeroangkasa, bioteknologi, dan sebagainya.

Sementara itu, berkongsi kisah kejayaan perniagaannya, alumni TUBE Sarawak, Syarifah Nurfaizah Wan Manshor berkata, beliau telah menyertai program TUBE pada tahun 2017. 

 Syarifah Nurfaizah berkongsi kisah kejayaan perniagaannya sebagai alumni TUBE Sarawak.
KONGSI KEJAYAAN: Syarifah Nurfaizah berkongsi kisah kejayaan perniagaannya sebagai alumni TUBE Sarawak.

Syarifah Nurfaizah yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Syarikat Ahmad Tamar Sdn Bhd berkata, di bawah program TUBE mereka diberikan latihan perniagaan selama tiga minggu bagaimana menghasilkan rancangan serta struktur perniagaan dengan bimbingan pakar industri daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). 

Selain latihan asas perniagaan katanya, mereka turut disediakan dengan bantuan geran memulakan perniagaan sebanyak RM15,000, selain hadiah tambahan selaku pemenang rancangan perniagaan terbaik antara 100 peserta TUBE. 

“Bertitik tolak daripada itu, kita sentiasa bersama SME Corp. Malaysia mengoptimumkan apa jua bentuk geran dan bantuan yang disediakan seperti BEEP dan sebagainya. 

“Kini, Ahmad Tamar merupakan pembekal kurma yang mempunyai kilang di Bandar Baru Samariang serta baru-baru ini menjadi pembekal kepada 830 buah Kedai Shell Select di seluruh Malaysia,” katanya. 

Sebagai alumni TUBE, Syarifah Nurfaizah turut menasihatkan usahawan belia yang belum mengetahui mengenai program TUBE agar menerokai inisiatif kerajaan ini menerusi SME Corp. Malaysia. 

 Rizal (duduk dua kiri), Dr. Ripin (duduk tiga kiri) merakamkan kenangan bersama peserta alumni TUBE Sarawak pada Sesi Interaksi Bersama Alumni Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Sarawak 2023 di Kuching.
UNTUK ALBUM: Rizal (duduk dua kiri), Dr. Ripin (duduk tiga kiri) merakamkan kenangan bersama peserta alumni TUBE Sarawak pada Sesi Interaksi Bersama Alumni Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Sarawak 2023 di Kuching.

Program TUBE katanya, sangat bagus untuk mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan mendalami asas perniagaan sebelum memulakan perniagaan. 

Sesi Interaksi Bersama Alumni TUBE Sarawak itu merupakan anjuran SME Corp. Malaysia dengan objektif utama untuk memberi latihan lanjutan berkaitan keusahawanan, khas kepada alumni TUBE. 

Seramai hampir 100 peserta yang terdiri daripada alumni TUBE Sarawak hadir pada program itu yang turut bertujuan untuk mendapatkan maklum balas dan status terkini perniagaan alumni TUBE yang telah diusahakan selepas tamat pemantauan program TUBE.

  • oleh
  • Advertisement