Anda di sini

MYNIC, TLC dan Jabatan Pendidikan Sarawak bekerjasama perkasa STEM

Advertisement
Fauzi (dua kanan) menyaksikan pertukaran MoU antara Hasnul (dari kiri), Raymond dan Kenneth (kanan). - Gambar Roystein Emmor
Fauzi (dua kanan) menyaksikan pertukaran MoU antara Hasnul (dari kiri), Raymond dan Kenneth (kanan). - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: MYNIC Berhad, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, tHE Learning Curve (TLC) dan Jabatan Pendidikan Sarawak bertukar memorandum persefahaman (MoU) hari ini bagi memperkasakan inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 

Majlis pertukaran MoU berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Isa. 

MYNIC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ts Hasnul Fadhly Hasan, manakala TLC dan Jabatan Pendidikan Sarawak masing-masing diwakili Pengasasnya Kenneth Chai dan Penolong Pengarah Dr Raymond Maurice Stephan Bujang. 

Bercakap pada sidang media selepas pertukaran MoU itu, Kenneth berkata TLC akan melengkapkan 50 sekolah dengan infrastruktur, latihan dan insentif yang diperlukan untuk menggunakan gerbang digital sepenuhnya dengan berkesan. 

"Kita akan mengajar mereka bagaimana mewujudkan laman web dahulu dan kita ada modul untuk mereka supaya mereka dapat beralih kepada sekolah tanpa dunia. 

"Sebagai contoh, alat tulis boleh dibeli oleh ibu bapa menerusi gerbang digital berbanding pada masa ini di mana pelajar perlu pergi membelinya sendiri di koperasi. 

"Sebenarnya ia boleh dibuat secara dalam talian dan dihantar ke bilik darjah dan itu yang cuba kita laksanakan sekarang ini," katanya. 

Ujar Kenneth lagi jika inisiatif itu berjaya, beliau tidak menolak akan memperluaskannya ke seluruh negara. 

Sebagai permulaan katanya, inisiatif ini dilaksanakan di 50 sekolah di Sarawak meliputi tiga daerah iaitu Kuching, Padawan dan Serian.   

Sementara itu, MYNIC menurut Hasnul, berperanan untuk menyediakan nama domain EDU.my kepada sekolah yang terlibat dalam inisiatif ini. 

Katanya, nama domain ini penting untuk memastikan insiatif pendigitalan sekolah-sekolah ini berjaya dan mampu bertahan. 

"Sebagai ibu bapa saya sangat percaya inisiatif ini akan membantu ibu bapa, pelajar, guru dan seluruh ekosistem sekolah. 

"Kita juga akan melihat bagaimana kita dapat menyalin model ini ke negeri-negeri lain," katanya. 

Dalam pada itu, objektif utama MoU ini adalah untuk menekankan kepentingan kemajuan digital dalam institusi pendidikan serta menekankan keselamatan siber dan pembangunan gerbang digital. 

Dengan memupuk ekosistem digital yang mantap, inisitiaf ini bertujuan untuk memudahkan peralihan sekolah yang lancar ke arah sepenuhnya platform digitap untuk pelbagai aspek kehidupan sekolah, termasuk pemberitahuan acara, aktiviti sekolah dan pengumpulan dana melalui transaksi dalam talian yang selamat. 
 

  • oleh
  • Advertisement