Anda di sini

Juragan, 12 penumpang warga asing ditahan masuk secara haram

Advertisement
 Semua warga asing terbabit ditahan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
TANGKAP: Semua warga asing terbabit ditahan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

TAWAU: Seramai 13 lelaki warga asing termasuk seorang juragan ditahan selepas memasuki perairan negara secara haram, kira-kira 1.2 batu nautika barat dari Jeti Pelabuhan, di sini semalam.

Semua suspek ditahan oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tawau, pada jam 10.30 pagi menerusi Op Pluto Timur, Op Sejahtera dan Op Tiris.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya mengesan pergerakan sebuah bot penumpang bergerak laju dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulau Sebatik.

Katanya, pasukan Maritim Malaysia yang menjalankan tugas operasi di perairan Tawau bertindak mengejar bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, juragan bot penumpang terbabit bertindak nekad terjun laut meninggalkan penumpangnya untuk melarikan diri.

“Namun tindakan pantas anggota Zon Maritim Tawau berjaya menangkap juragan terbabit bersama penumpangnya,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua penumpang dan juragan bot berkenaan adalah warga asing berumur 18 hingga 61 tahun.

“Pemeriksaan lanjut, semua suspek terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan masuk ke perairan negara secara haram.

“Siasatan awal juga mendapati semua penumpang terbabit masuk ke daerah ini untuk bekerja semula, selepas balik bercuti dari kampung melalui jalan tidak sah,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Semua barangan termasuk bot, enjin dan barang peribadi suspek disita, manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya.

Shahrizan berkata, pihaknya akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya di Perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Kerjasama dengan agensi-agensi lain juga terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

“Orang ramai diharap dapat membantu Maritim Malaysia dengan menyalurkan aduan jenayah di perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement