Anda di sini

Kem Nutrisi Kanak-Kanak, manfaat terap gaya hidup sihat 

Advertisement
 Kem Nutrisi Kanak-Kanak di Beluran.
MERIAH: Tetamu jemputan dan pihak penganjur merakamkan kenangan bersama peserta yang menjayakan Program Kasih dan Kongsi: Kem Nutrisi Kanak-Kanak di Beluran.

BELURAN: Seramai 1,400 peserta termasuk golongan kanak-kanak di daerah ini terlibat menyertai Program Kasih dan Kongsi: Kem Nutrisi Kanak-Kanak sempena Bulan Kebajikan 2023.

Program anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) itu berlangsung pada 30 September dan 1 Oktober lepas melibatkan aktiviti pemberian pek makanan bernutrisi kepada kanak-kanak dari keluarga golongan B40.

Selain itu, pihak penganjur turut mengadakan aktiviti pendidikan nutrisi dan pemakanan sihat ke arah membina anak tempatan yang sihat dan sejahtera.

Kem Nutrisi berkenaan dikendalikan bersama rakan strategik MPMS iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS). 

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, kesan pembangunan, ekonomi, sosial dan perubatan daripada kekurangan zat makanan adalah isu yang serius dan berkekalan.

Katanya, ia memberi kesan kepada individu serta keluarga, komuniti dan negara.

"Sehubungan itu, pemakanan sihat dan seimbang untuk bayi dan kanak-kanak adalah salah satu cara terbaik untuk memerangi kemiskinan.

"Jalinan kerjasama dan perkongsian sumber dan tenaga daripada pelbagai pihak, antara sektor kerajaan dan sektor swasta adalah amat penting dan diperlukan untuk meningkatkan impak dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Pelancaran   Bulan Kebajikan 2023 dan Program  Kasih dan Kongsi: Kem Nutrisi Kanak-Kanak di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Walter Kenson.

 Walter (tiga kanan) menyampaikan hadiah penghargaan kepada salah seorang peserta yang menyertai aktiviti sempena program itu.
TAHNIAH: Walter (tiga kanan) menyampaikan hadiah penghargaan kepada salah seorang peserta yang menyertai aktiviti sempena program itu.

Dalam pada itu James memuji usaha yang dijalankan MPMS dan warga JKNS atas penghasilan idea yang bernas serta bertungkus-lumus menjayakan Kem Nutrisi berkenaan.

"Semangat kebersamaan dan komitmen yang kukuh ini turut memberi motivasi kepada Jawatankuasa Induk Bulan Kebajikan 2023 dalam merencanakan sebanyak 50 aktiviti yang melibatkan sukarelawan, kanak-kanak, wanita dan keluarga, warga emas serta Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah juga turut bersama memeriahkan Bulan Kebajikan ini dengan mengadakan Rumah Terbuka di tiga Institusi Penjagaan Warga Emas JPKA," jelasnya.

Pihaknya berharap semua aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berjaya dan mencapai semua objektif yang disasarkan.
 

  • oleh
  • Advertisement