Anda di sini

KUSKOP berharap terima peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2024

Advertisement
EWON
EWON

KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berharap akan menerima peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 13 Oktober ini.

Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick berkata, ia bagi memastikan usahawan di seluruh negara terus menerima manfaat.

Menurutnya, sebanyak 54 cadangan inisiatif spesifik telah dikemukakan oleh KUSKOP kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk belanjawan kali ini.

“Dalam inisiatif tersebut, kita telah cadangkan jumlah yang lebih besar untuk Belanjawan 2024 berbanding RM732 juta pada tahun ini selepas mengambil kira input daripada pelbagai pihak berkepentingan di seluruh negara.

“Kita telah kumpulkan, rumuskan serta kemukakan (data-data) kepada Kementerian Kewangan. Ketika ini hanya Perdana Menteri sahaja yang tahu berapa yang akan disalurkan kepada kementerian.

“Tetapi saya amat yakin kita akan dapat jumlah yang lebih baik daripada jumlah yang telah diluluskan dalam Bajet 2023," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kampus Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) Sarawak di Tingkat 2, pusat beli-belah Sarawak Plaza di sini, hari ini.

Ditanya apa antara cadangan insiatif yang dikemukakan KUSKOP dalam Belanjawan 2024, Ewon berkata, adalah pengembangan program di bawah agensi INSKEN.

“Itulah sebabnya kenapa kementerian kita menubuhkan cawangan INSKEN di Sarawak.

“Selain itu, kita turut mencadangkan supaya lebih banyak program keusahawanan dianjurkan di Sarawak dan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon turut memberitahu, kementerian baru-baru ini telah memperuntukkan sejumlah RM10 juta geran khusus untuk usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus.

“Jumlah yang kita sediakan ini dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia di bawah Mikro MADANI bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.

“Sebelum pembentangan Belanjawan 2024, kementerian sudah beri berita baik. Untuk usahawan Sabah dan Sarawak boleh memohon secara dalam talian sekarang,” katanya.

Belanjawan 2024 dijadual akan dibentang di Parlimen pada 13 Oktober ini dan merupakan belanjawan kedua dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan selepas Belanjawan 2023 Malaysia Madani pada 24 Februari lalu.

  • oleh
  • Advertisement