Anda di sini

Kampus INSKEN Sarawak beri manfaat besar kepada usahawan

Advertisement
 Ewon (tengah) ketika merasmikan Kampus INSKEN Sarawak.
RASMI: Ewon (tengah) ketika merasmikan Kampus INSKEN Sarawak.

KUCHING: Kampus Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) Sarawak akan memberi manfaat yang besar kepada usahawan-usahawan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Kampus INSKEN Sarawak ini adalah cawangan kedua, selepas Kampus INSKEN di Sabah dan ibu pejabat di Cyberjaya Selangor. 

"Ini bertepatan dengan usaha kita untuk memperkasa lebih ramai usahawan di negeri ini.

"INSKEN sememangnya dikenali sebagai agensi yang progesif dalam memperkasa usahawan di Malaysia.

"Keputusan bijak untuk membuka cawangan seterusnya di Sarawak adalah bertepatan dalam memajukan ekosistem keusahawanan di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).

"Ini membuktikan faktor lokasi bukanlah menjadi penghalang untuk usahawan di Sarawak mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika merasmikan Kampus INSKEN Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak kementerian dan agensi sentiasa peka dengan keperluan usahawan termasuk pandangan yang diberikan pada sesi dialog bersama pemain industri Sabah dan Sarawak yang dijalankan baru-baru ini. 

Katanya, antara cadangan yang diberikan adalah supaya lebih banyak latihan keusahawanan bukan sahaja untuk koperasi tetapi usahawan kecil termasuk mikro dan informal dianjurkan di Sabah dan Sarawak. 

"Hasilnya, kini INSKEN sudah mula bertapak di kedua-dua negeri ini bagi terus membantu usahawan di sini.

"INSKEN menyediakan pelbagai program latihan dan bimbingan untuk usahawan.

"Antaranya Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), INSKEN Start-Up Coaching, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu," katanya.

Katanya, setakat bulan Ogos 2023, INSKEN berjaya melatih seramai 7,418 usahawan dan telah melebihi sasaran pada tahun 2023.

"Saya berharap melalui pembukaan cawangan di sini, lebih ramai usahawan dan bakal usahawan di Sarawak merebut peluang mengikuti program latihan dan bimbingan yang disediakan oleh INSKEN," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement