Anda di sini

INSKEN buka pejabat cawangan ketiga di Sarawak

Advertisement


INSKEN sememangnya dikenali sebagai agensi progresif dalam memperkasakan usahawan di Malaysia

Ewon melakukan simbolik perasmian Kampus INSKEN Cawangan Sarawak sambil disaksikan Suriani (dua kiri), Muhd Firdaus (tiga kiri) dan tetamu kehormat lain di Kuching hari ini.
Ewon melakukan simbolik perasmian Kampus INSKEN Cawangan Sarawak sambil disaksikan Suriani (dua kiri), Muhd Firdaus (tiga kiri) dan tetamu kehormat lain di Kuching hari ini.

“Keputusan bijak untuk membuka cawangan seterusnya di Sarawak bertepatan dengan memajukan ekosistem keusahawanan di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).” 

Datuk Ewon Benedick
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi  

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) kini membuka pejabat cawangan ketiganya di sini yang akan memberi manfaat besar kepada usahawan di Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, INSKEN sememangnya dikenali sebagai agensi progresif dalam memperkasakan usahawan di Malaysia.

“Keputusan bijak untuk membuka cawangan seterusnya di Sarawak bertepatan dengan memajukan ekosistem keusahawanan di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).

“Ini membuktikan faktor lokasi bukan penghalang kepada usahawan di Sarawak untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kampus INSKEN Sarawak di Tingkat 2, pusat beli-belah Sarawak Plaza di sini, hari ini.

Ewon memberitahu, kementerian dan agensi sentiasa peka dengan keperluan usahawan termasuk pandangan yang diberikan pada sesi dialog bersama pemain industri Sabah dan Sarawak yang dijalankan baru-baru ini.

“Antara cadangan diberikan ialah lebih banyak latihan keusahawanan bukan sahaja untuk koperasi tetapi usahawan kecil termasuk mikro dan informal dianjurkan di Sabah dan Sarawak.

“Hasilnya, INSKEN kini telah menubuhkan kampusnya di dua negeri ini untuk terus membantu usahawan di sini,” ujarnya.

Setakat Ogos 2023 katanya, INSKEN telah berjaya melatih seramai 7,418 usahawan dan telah melebihi sasaran pada 2023.

“Justeru, saya harap melalui pembukaan cawangan di sini, lebih ramai usahawan dan bakal usahawan di Sarawak akan merebut peluang mengikuti program latihan dan bimbingan yang disediakan oleh INSKEN,” kata beliau.

Menurut Ewon, INSKEN menyediakan pelbagai program latihan dan bimbingan untuk usahawan.

“Antaranya, termasuk Program Bimbingan Perniagaan Bumiputera INSKEN (IBBC), Bimbingan Permulaan INSKEN, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program l Bimbingan Keuntungan Menu,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin dan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad.

Advertisement