Anda di sini

Kembara Sains Borneo Siri 2 berupaya tingkatkan minat dalam sains, teknologi dan inovasi

Advertisement
 Arthur bersama tetamu kehormat dan jemputan lain merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang hadir dalam KSB Siri Dua yang diadakan di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan.
ALBUM: Arthur bersama tetamu kehormat dan jemputan lain merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang hadir dalam KSB Siri Dua yang diadakan di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan.



NABAWAN: Kembara Sains Borneo (KSB) Siri Dua anjuran Pusat Sains Negara (PSN) dan Akademi Sains Malaysia mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat, dengan mencatatkan kehadiran pengunjung melebihi sasaran.


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, seramai 19,408 komuniti terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dibawakan dalam KSB di Kimanis dan Kalabakan termasuklah aktiviti-aktiviti sampingan yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah sekitar Parlimen Kimanis, Kalabakan dan Pensiangan sehingga 27 September.


"KSB Siri 2 Pensiangan yang diadakan bermula semalam, kita telah merekodkan sejumlah 3,000 pengunjung pada hari pertama menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 22,408 pengunjung. Jumlah itu berjaya melepasi sasaran 10,000 pengunjung yang kita tetapkan, " katanya.


Sambil menyifatkan KSB Siri Dua anjuran PSN sebagai satu kejayaan, beliau percaya jumlah keseluruhan pengunjung akan berlipat kali ganda di sepanjang berbaki dua hari lagi pelaksanaan program KSB Siri 2 Parlimen Pensiangan.

 Salah seorang pengunjung yang juga pelajar sedang mencuba eksperimen yang disediakan oleh Jabatan Kimia Malaysia sempena KSB Siri Dua yang diadakan di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan.
 INTERAKTIF: Salah seorang pengunjung yang juga pelajar sedang mencuba eksperimen yang disediakan oleh Jabatan Kimia Malaysia sempena KSB Siri Dua yang diadakan di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan.


"Secara umumnya, kita dapat melihat sambutan yang amat baik daripada komuniti di setiap lokasi KSB terutamanya komuniti pedalaman Sabah.


"Saya yakin dengan data-data dan maklum balas yang kita terima daripada para pengunjung, program jangkau luar seperti KSB dapat kita pertimbangkan sebagai program berkala yang wajar dilaksanakan bagi memastikan aspek pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dilaksanakan secara menyeluruh.


"Program jangkau luar pembudayaan STI dapat membantu negara melahirkan modal insan yang mencukupi dalam bidang itu bagi menampung permintaan dalam industri berasaskan teknologi yang menawarkan pelbagai potensi ekonomi serta peluang-peluang pekerjaan dengan menawarkan gaji lumayan, " katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Penutupan KSB Siri Dua 2023, dekat sini kelmarin.

 Arthur sedang meninjau reruai rakan strategik MOSTI yang menyertai KSB Siri Dua yang diadakan di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan.
 LAWAT: Arthur sedang meninjau reruai rakan strategik MOSTI yang menyertai KSB Siri Dua yang diadakan di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan.


Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah PSN, Mismah Jimbun, berkata 'Bertemakan Sains Itu Menyeronokkan', PSN telah membawakan pengalaman sesebuah Pusat Sains kepada komuniti setempat di tiga lokasi terpilih di Sabah iaitu Kimanis (15-17 September), Kalabakan (22-24 September) dan Pensiangan (29 September-1 Oktober).


"PSN menawarkan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik berkonsepkan hands on, minds on, hearts on selaras dengan usaha memperkenalkan pembelajaran sains tidak formal berkonsepkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat dan penyertaan adalah percuma kepada semua.


"PSN membawakan bahan pameran interaktif bernilai hampir RM2 juta yang dibawakan khas daripada Kuala Lumpur bagi memberi pengalaman kepada semua peringkat masyarakat supaya dapat merasai keseronokan pembelajaran dalam bidang STI, " katanya.


Hadir sama, Senator Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin; Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim; Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik MOSTI, Dr. Noraisah Spahat; Ketua Eksekutif Institute For Development Studies (Sabah) Datuk Ts. Ramzah Dambul dan Pegawai Daerah Nabawan, Peter Jiton.
 
 

  • oleh
  • Advertisement