Anda di sini

Wakil usahawan India dalam agensi KUSKOP, tingkat penyertaan keusahawanan

Advertisement
 Ewon bersama wakil usahawan DPPIM semasa Program Ramah Mesra dan Dialog Bersama Usahawan India di George Town Pulau Pinang.
PERTEMUAN: Ewon bersama wakil usahawan DPPIM semasa Program Ramah Mesra dan Dialog Bersama Usahawan India di George Town Pulau Pinang.

KOTA KINABALU: Penyertaan masyarakat India dalam gerakan keusahawanan dan koperasi akan bertambah baik dengan pelantikan wakil usahawan masyarakat itu dalam agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, lima wakil usahawan India dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di SME Corp Malaysia, TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, dan Institut Keusahawanan Negara.

Beliau berkata, pelantikan itu tidak pernah dibuat sebelum ini dan membuktikan Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menghargai sumbangan dan peranan masyarakat India dalam proses tadbir urus negara.

“Selepas berbincang dengan timbalan menteri saya, Senator Saraswathy Kandasami, saya kemukakan senarai cadangan pelantikan kepada Perdana Menteri dan kemudiannya beliau bersetuju dengan pelantikan ini.

“Justeru, bagi pihak kerajaan, saya amat berharap agar pelantikan ini dapat menambah baik penyertaan masyarakat India dalam gerakan keusahawanan dan koperasi di negara kita sepertimana harapan saya kepada semua kaum masyarakat di negara ini,” katanya.

Ewon berkata demikian pada Program Ramah Mesra dan Dialog Bersama Usahawan India anjuran gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (DPPIM) di George Town Pulau Pinang semalam.

Turut hadir dalam perjumpaan itu Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kelulusan kerajaan bagi membenarkan kuota 7,500 pekerja asing bagi tiga sub sektor yang melibatkan penyertaan banyak usahawan masyarakat India iaitu tekstil, kedai emas dan kedai gunting.

“Pada 30 September ini, kementerian juga akan mengadakan Sesi Dialog Belanjawan 2024 bersama dengan pemain industri keusahawanan dan koperasi dalam kalangan masyarakat India bagi mendapatkan input-input berkenaan belanjawan 2024. 

"Pendekatan ini diharap dapat menambah baik kerjasama dan komunikasi di antara kerajaan dengan pemegang taruh dalam sektor keusahawanan dan koperasi,” katanya.
 

Advertisement