Anda di sini

RM10 juta geran untuk usahawan bumiputera Sabah, Sarawak 

Advertisement
 Ewon menyampaikan kuih bulan kepada orang ramai sempena Pesta Kuih Bulan anjuran Pakatan Harapan Penampang.
KUIH BULAN: Ewon menyampaikan kuih bulan kepada orang ramai sempena Pesta Kuih Bulan anjuran Pakatan Harapan Penampang.

PENAMPANG: Sejumlah RM10 juta geran disediakan khusus untuk usahawan bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus Sabah dan Sarawak menerusi Program Pengukuhan Mikro Madani (Mikro Madani).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, usaha itu sebahagian daripada peruntukan RM100 juta yang disediakan SME Corp Malaysia di bawah Mikro Madani bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.

Katanya, Program Mikro Madani menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro dalam bentuk geran dan pinjaman serta baucar untuk pendaftaran status PMKS melalui lima inisiatif utama.

“Lima inisiatif itu ialah Geran Perniagaan Mikro (GPM); Pembiayaan Perniagaan Mikro (Micro Biz Financing-MBF); Geran Perniagaan Belia Mikro@TUBE (Tunas Usahawan Belia Bumiputera); Program BEEP Plus Sabah dan Sarawak dan Baucar Status PMKS.

“Program TUBE yang menyediakan latihan dan geran kepada golongan belia yang ingin memulakan perniagaan juga terbuka kepada usahawan muda Sabah dan setakat ini pemohon yang paling ramai adalah dari Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kuih Bulan anjuran Pakatan Harapan (PH) Penampang di sini baru-baru ini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pihaknya turut memperkenalkan Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia (YPPKM) kepada peniaga kecil masyarakat Cina di Sabah pada Mei lepas.

“Saya membawa YPPKM iaitu satu organisasi bukan kerajaan yang memberi pembiayaan mikro kepada peniaga kecil masyarakat Cina, buat pertama kalinya yang tidak pernah dibuat sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina dapat memberikan penerangan kepada usahawan masyarakat itu mengenai program-program dan pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan untuk masyarakat Cina.

“Saya mahu menjadikan kementerian ini, kementerian yang dekat dengan masyarakat Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak. Itu sebabnya kita membawa agensi kita, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) membuka pejabatnya di Sabah,” katanya.

Ewon berkata, pembukaan pejabat INSKEN di Sabah sejajar dengan hasratnya memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak agar usahawan di negeri ini mendapat akses lebih mudah dan cepat mengenai bantuan latihan dan bimbingan daripada INSKEN.
 

  • oleh
  • Advertisement