Anda di sini

Warga emas cedera dalam insiden langgar lari di Miri

Advertisement
 

MIRI: Seorang pejalan kaki warga emas mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan setelah disyaki dilanggar lari sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti. 

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, kejadian terbabit melibatkan mangsa lelaki berusia 60 tahun yang berlaku di Jalan Desa Senadin 1, di sini pada Selasa lalu, kira-kira jam 7.08 malam. 

“Hasil siasatan mendapati mangsa ditemui terbaring di tengah jalan di Desa Senadin 1 oleh orang awam yang melalui jalan tersebut. 

“Mangsa disyaki telah dilanggar oleh kenderaan yang tidak dikenali.

"Selepas itu kenderaan tersebut terus bergerak pergi tanpa membantu mangsa yang terbaring di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan media di sini. 

Alexson berkata, impak pelanggaran itu mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan kini mendapat rawatan di Hospital Umum Miri. 

“Susulan kejadian ini, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini untuk tampil ke Balai Polis Trafik atau menghubungi pegawai penyiasat di talian 085-430479 bagi membantu siasatan. 

“Berdasarkan laporan polis tersebut, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. 

  • oleh
  • Advertisement