Anda di sini

Lelaki mengamuk depan bengkel Taman Duranda didenda RM600

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki berusia 63 tahun didenda RM600 atau penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengamuk di hadapan sebuah bengkel di Taman Duranda dua tahun lalu.

Majistret Mason Jaro Lenya Barayan menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Boo Hiong dari Siburan susulan pengakuan bersalahnya sendiri atas pertuduhan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000, atau dengan kedua-duanya.

Lee melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah bengkel berhampiran Taman Duranda di sini sekitar jam 2.30 petang pada 19 Julai 2021.

Berdasarkan fakta kes, seorang pengadu melihat satu video yang menjadi viral mengandungi dakwaan dan tuduhan seorang lelaki terhadap seorang ADUN berhubung derma RM300,000 daripada kerajaan persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.

Pengadu kemudiannya membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan dan dakwaan tersebut.

Siasatan kemudian mendapati lelaki dikenali sebagai Chang Foot Kong, telah membuat video itu menjadi tular dan Lee yang tidak berpuas hati telah meminta penjelasan daripadanya.

Semasa pertemuan mereka secara bersemuka, Chang dan Lee menimbulkan provokasi antara satu sama lain dan berlaku pergelutan di mana kedua-duanya kemudiannya mengambil sebatang kayu dan memukul bahu kanannya.

Lee tidak mengalami sebarang kecederaan semasa pertengkaran itu.

Sementara itu, Chang yang turut didakwa di mahkamah sama atas kesalahan sama seperti Lee hari ini, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Pendakwaan kes oleh ASP Hisyam Junaidi manakala Lee tidak diwakili peguam bela.
 

Advertisement