Anda di sini

Cari pendekatan terbaik salur bantuan kepada usahawan: Ewon

Advertisement
 Ewon (empat kanan) merakamkan kenangan selepas menyampaikan penghargaan kepada usahawan yang juga pelawak terkenal Shuib (empat kiri) pada majlis itu.
PENGHARGAAN: Ewon (empat kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada usahawan yang juga pelawak terkenal Shuib (empat kiri) sebagai peserta program Umbrella SME Bank di bawah syarikat Bubblebee Sdn. Bhd (Anchor).

KOTA KINABALU: Agensi kerajaan dan swasta disaran mencari pendekatan terbaik untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan usahawan di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, dalam menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik dari dalam dan luar, agensi-agensi perlu lebih cakna dengan cabaran yang dihadapi usahawan.

Katanya, menerusi bantuan yang disalurkan kepada usahawan, ia mampu menyokong mereka untuk terus berkembang maju. 

Beliau memuji usaha gigih SME Bank dalam membantu golongan usahawan supaya dapat menerima manfaat dari pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, agensi serta pihak swasta sehingga ke peringkat akar umbi. 

"Kerajaan amat komited dalam memastikan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul dan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif dapat dicapai menjelang 2030," katanya.  

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Pelancaran SME Bank XCESS 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, program berkenaan satu ‘flagship programme’ yang dianjurkan oleh SME Bank sebagai komitmen berterusan dalam memacu pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) secara lebih inklusif dan mampan. 

Ewon berkata, sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat kepada 38.4 peratus pada 2022 dengan nilai tambah berjumlah RM580.4 bilion berbanding RM520 bilion pada 2021, membuktikan sektor ini memainkan peranan penting dalam pemangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan. 

"Bagi kerajaan pula, peranan kementerian ialah untuk terus menggalakkan dan mengukuhkan peranan sektor PMKS dalam kemajuan ekonomi negara.

"Komitmen ini diterjemahkan dengan menyediakan persekitaran yang diperlukan seperti, mengukuhkan infrastruktur yang menyokong pembangunan PMKS, membina kapasiti dan keupayaan PMKS, dan meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi PMKS.  

"Saya melihat program SME Bank XCESS 2023 ini menyokong komitmen kerajaan yang saya sebutkan tadi. Strategi SME Bank untuk memastikan kemudahan, jangkauan dan perkhidmatan kepada PMKS dapat ditawarkan secara harmoni membuka pelbagai peluang untuk anda semua," jelasnya. 

Sehubungan itu, beliau menyifatkan program berkenaan peluang yang baik untuk berinteraksi dan berbincang dengan pelabur, pemasar, serta agensi-agensi yang berkaitan.

Katanya, usaha itu akan membantu dari segi peningkatan kapasiti, pengenalan kepada keadaan dan keperluan pasaran serta belajar daripada usahawan yang berjaya di pasaran luar. 

"Saya juga berharap program SME Bank XCESS 2023 ini dijadikan sebagai wadah untuk mewujudkan kerjasama dan jaringan strategik antara usahawan PMKS dengan kerajaan serta agensi-agensinya," katanya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata, SME Bank XCESS adalah program tahunan utama SME Bank yang memainkan peranan sebagai peneraju dalam penciptaan nilai ekosistem PMKS yang melangkaui perkhidmatan pembiayaan.

Katanya, tahun ini, SME Bank membawa seramai 100 rakan strategik yang terdiri daripada syarikat-syarikat anchor, pempamer, panel speaker, pembeli dari luar negara.
 

  • oleh
  • Advertisement