Anda di sini

Jurutera Sarawak disaran sentiasa mempelajari teknologi terbaharu

Advertisement
Stephanie (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tiong pada majlis tersebut di Bintulu, malam Jumaat.
Stephanie (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tiong pada majlis tersebut di Bintulu, malam Jumaat.

BINTULU: Setiap jurutera disarankan sentiasa memperbaiki mutu kerja masing-masing serta mempelajari teknologi terkini bagi memastikan kepakaran mereka selari dengan kehendak semasa serta perubahan zaman. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, bidang kejuruteraan cukup luas dan berkembang pantas memerlukan jurutera pelbagai pengkhususan mempraktikkan corak kerja terbaharu dan sesuai dengan keperluan semasa.

"Sarawak khususnya Bintulu merupakan sebuah bahagian yang berkembang pesat dalam sektor perindustrian dan segala kerja pembinaan harus berkualiti serta memenuhi standard spesifikasi pembinaan ditetapkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam The Institution of Engineers Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di sini, malam Jumaat.

Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, sebagai sebuah negeri yang pesat membangun dengan pelbagai corak pembinaan dilaksanakan sudah pasti memerlukan kepakaran tinggi bagi menghasilkan struktur binaan berkualiti dan selamat untuk diduduki.

Pada masa sama, pembinaan hebat dengan reka bentuk menarik sudah pasti melahirkan rasa teruja setiap pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke negeri ini bagi menikmati struktur binaan indah dan menarik.

"Saya melihat struktur binaan indah dan menarik yang terdapat di negeri ini juga menjadi tarikan yang dapat diketengahkan oleh setiap pereka khsususnya jurutera berpengalaman.

"Justeru, IEM Sarawak amat komited serta memainkan peranan penting menggerakkan jurutera di negeri ini ke arah perkhidmatan lebih baik serta berkualiti," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengumumkan sumbangan sejumlah RM50,000 kepada IEM Sarawak untuk menjalankan aktiviti sepanjang tahun 2024.

Hadir sama Pengerusi IEM Sarawak Ir Stephanie Sim Hui dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Bintulu Steven Kong Kai.
 

Advertisement