Anda di sini

Program Sekolah Keusahawanan antara cadangan diterima KUSKOP

Advertisement
 Ewon (kanan) ketika membuat tinjauan di majlis berkenaan.
MESRA: Ewon (kanan) ketika membuat tinjauan di majlis berkenaan.


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata cadangan mewujudkan Program Sekolah Keusahawanan antara cadangan yang diterima dalam Dialog Belanjawan 2024 bagi kementerian itu.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan secara lisan dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan berharap ia dapat dilaksanakan tahun depan.

“Di peringkat kementerian, saya juga meminta satu perbincangan khusus diadakan melibatkan kementerian, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Angkasa dan Kementerian Pendidikan untuk membincangkan bagaimana menjayakan program-program pembangunan keusahawanan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Koperasi Sekolah, Koperasi SMK Tansau Berhad, di sekolah itu, di sini semalam.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pengwujudan program sekolah keusahawanan penting bagi melahirkan lebih ramai usahawan-usahawan muda berjaya di negara ini.

“Kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian mempunyai pelbagai skim pembiayaan sedia ada seperti geran usahawan muda dan Program Protege khusus untuk golongan siswazah.

“Pada pandangan saya, cadangan mewujudkan program sekolah keusahawanan ini wajar sebagai persediaan awal para pelajar berkecimpung dalam bidang perniagaan, seterusnya melahirkan usahawan muda yang berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, pendedahan awal para pelajar mengenai keusahawanan amat penting bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang itu sebagai bekalan asas membina perniagaan selepas menamatkan pengajian.

“Setelah menamatkan pengajian, mereka boleh membina perniagaan atau menubuhkan syarikat sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan  'makan gaji' semata-mata.

“Dengan adanya perniagaan sendiri, mereka boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada rakan-rakan graduan yang lain,” katanya.

Pada majlis itu Ewon bersetuju meluluskan permohonan Koperasi SMK Tansau sebanyak RM50,000 bagi membantu meningkatkan prestasi jualan koperasi itu.

Sebelum ini beliau turut menyampaikan sumbangan yang sama kepada empat koperasi sekolah di SMK Datuk Peter Mojuntin, SMK Limbanak, SMK Bahang dan SM St.Micheal Penampang.

  • oleh
  • Advertisement