Anda di sini

Aktiviti koperasi medan gilap ketrampilan pelajar: Ewon

Advertisement
 Ewon ketika melancarkan simbolik perasmian majlis Penutupan Hari Koperasi Sekolah SMK Tansau Penampang.
RASMI: Ewon ketika melancarkan simbolik perasmian majlis Penutupan Hari Koperasi Sekolah SMK Tansau Penampang.

PENAMPANG: Kepimpinan dan keterampilan pelajar sebagai koperator mampu digilap menerusi penglibatan aktif dalam aktiviti keusahawanan koperasi di sekolah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program seumpama itu turut menjadi medan khususnya kepada pelajar sekolah menengah untuk mempelajari selok-belok pengurusan dan aktiviti koperasi.

Menurutnya, perkara itu menjadi asas ke arah keusahawanan seterusnya mewujudkan jalinan hubungan dengan agensi-agensi berkaitan yang lain. 

Katanya, ia seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara yang bertujuan memperkembangkan lagi potensi individu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani emosi dan jasmani. 

"Kemahiran-kemahiran yang dikuasai ini secara tidak langsung menjadi asas untuk melahirkan pemimpin berwibawa  yang bakal mewarisi masa depan negara pada masa hadapan. 

"Saya menyaksikan kemeriahan sambutan hari koperasi sebagai manifestasi kepada iltizam semua pihak untuk memajukan koperasi sekolah sekali gus menjana keuntungan seterusnya memberi manfaat kepada sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Penutupan Hari Koperasi Sekolah (HKS) Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau di sini hari ini.

Ewon berkata, menerusi program seumpama itu, pelbagai inisiatif boleh disalurkan untuk membantu atau membimbing sekolah-sekolah agar pengendalian koperasi sekolah diperhebatkan.

Dalam pada itu katanya, pada masa kini pelbagai isu menghimpit segenap lapisan masyarakat khususnya isu ekonomi. 

"Sehubungan itu, saya amat menyokong usaha koperasi sekolah yang berterusan untuk memberikan peluang kepada murid-murid mengenali asas keusahawanan.

"Hal ini amat signifikan dengan Dasar Keusahawanan Negara iaitu menjadikan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Menjelang 2030.

"Dasar ini membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup.  Kesinambungan dasar ini mampu menjadikan negara kita menjadi negara yang berdaya saing di peringkat global," jelasnya.

Beliau berharap agar koperasi SMK Tansau menjadi salah satu medan untuk melahirkan lebih ramai usahawan  dalam kalangan murid-murid di sekolah berkenaan.
 

  • oleh
  • Advertisement