Anda di sini

MIHAS platform tepat usahawan industri halal perkasakan rangkaian perniagaan

Advertisement
 Ewon (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU pada majlis berkenaan.
SAKSIKAN: Ewon (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU pada majlis berkenaan.

KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) adalah platform terbaik usahawan industri halal atau syarikat tempatan memperkasa serta memperluaskan rangkaian perniagaan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, tahun ini SME Bank sebagai agensi peneraju bagi pavilion Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membawa 24 pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka bersama-sama agensi KUSKOP.

“Seramai 12 daripada pempamer yang ditampilkan adalah peserta Business Export Program (BEP), satu inisiatif KUSKOP di bawah SME Bank.

“Penyertaan usahawan-usahawan itu dalam MIHAS adalah sebahagian daripada misi pecutan eksport (EAM), inisiatif di bawah BEP bagi membolehkan mereka berdaya saing meneroka pasaran halal di peringkat global. 

“Inisiatif ini akan menjadi peluang terbaik mereka mendekati rakan kongsi dan pelabur berpotensi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis ringkas pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) diantara SME Bank dengan Halal Development Corporation (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Dua MoU antara SME Bank ditandatangani diantara HDC dan Perak SADC bertujuan menjalin kerjasama membangunkan usahawan PKS dalam industri halal.

SME Bank diawakili oleh Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wira Dr. Aria Putera Ismail, manakala HDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Hairol Ariffein Sahari serta Perak SADC pula diwakili oleh Ketua Pengarah Eksekutifnya Haji Yahanis Yahaya.

Ewon berkata, MoU antara SME Bank dengan HDC dan Perak SADC menunjukkan komitmen berterusan kementeriannya memperkasakan industri halal di negara ini.

Pameran terbesar dunia yang dikhususkan untuk industri halal itu disertai 40 negara, bermula hari ini sehingga 15 September.

Terdahulu itu Ewon menghadiri majlis perasmian Global Halal Summit (GHaS) 2023 sempena MIHAS, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • oleh
  • Advertisement