Anda di sini

Projek Rakan Kebun SKoD dapat maklum balas positif: Rubiah

Advertisement
Rubiah (tiga kiri) menunjukkan hasil tanaman yang dituai pada majlis pelancaran projek Rakan Kebun SKoD di Kampung Seniawan, Kota Samarahan, hari ini. Turut kelihatan (dari kiri) Khairuddin dan Kamal.
Rubiah (tiga kiri) menunjukkan hasil tanaman yang dituai pada majlis pelancaran projek Rakan Kebun SKoD di Kampung Seniawan, Kota Samarahan, hari ini. Turut kelihatan (dari kiri) Khairuddin dan Kamal.

KOTA SAMARAHAN: Rakan Kebun Sahabat Komuniti Desa (SKoD) mendapat maklum balas positif daripada penduduk yang berkecimpung dalam projek pertanian tersebut.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, projek itu dilaksanakan sebagai salah satu usaha menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan keselamatan makanan dalam negara.

"Program yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ini telah diadakan di seluruh negara dan di Sarawak telah dilaksanakan di 11 lokaliti bagi fasa pertama dan pelancarannya di Kampung Seniawan, di sini.

"Menerusi projek ini, kita telah menerima maklum balas yang menggalakkan dengan penglibatan menyeluruh penduduk kampung yang telah didaftarkan di bawah SKoD," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Projek Rakan Kebun SKoD di Kampung Seniawan, Kota Samarahan di sini, hari ini.

Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan memberitahu, peserta SKoD akan dibekalkan keperluan asas untuk memulakan sesuatu projek penanaman.

"Walaupun menggunakan kaedah dalam bentuk kecil seperti menyediakan biji benih, racun serangga, baja dan sebagainya, namun kita memasukkan aspek teknologi ke arah projek tersebut.

"Menerusi aspek teknologi berkenaan, ia telah menggalakkan dan menarik lebih ramai peserta untuk menyertainya.

"Ini kerana sebelum ini Kota Samarahan memang kawasan pertanian, namun penglibatan penduduk ke arah aktiviti itu kurang disebabkan ancaman penyakit dan harga benih dan racun tinggi," katanya.

Menurut Rubiah, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam melaksanakan projek terbabit.

"Bagi satu projek untuk satu kawasan melibatkan kos RM10,000 untuk dua tahun bagi menyediakan benih, racun serangga dan sebagainya," jelasnya.

Ditanya mengenai sasaran kerajaan untuk penglibatan dalam projek itu, Rubiah menjelaskan bahawa ia menyasarkan 20 peserta untuk satu program.

"Namun kita tidak ada had jumlah, selagi mereka mahu mengikuti program ini, mereka boleh teruskan dan di seluruh negara kita sasarkan lebih kurang 3,600 peserta," katanya.

Pada majlis itu, Rubiah turut menyampaikan peruntukan program pembangunan kepada penduduk Kampung Seniawan berjumlah RM50,000.

Turut hadir Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, Pengarah KEMAS Sarawak Khairuddin Md Nasir, Ketua Kampung Seniawan Anuar Unid dan tetamu jemputan lain.
 

  • oleh
  • Advertisement