Anda di sini

Pasaran getah dijangka alami dagangan berjulat kecil minggu depan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan dalam julat kecil dengan kecenderungan tinggi minggu depan.

Bekas Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) Denis Low berkata hujan yang berterusan di beberapa kawasan pengeluaran getah telah menjejaskan produktiviti getah.

“Sekali lagi, nampaknya akan berlaku keadaan bekalan yang terhad berpunca daripada situasi cuaca.

“Oleh itu, kami menjangkakan sedikit aktiviti pengisian semula stok dilakukan menjelang keadaan cuaca yang tidak menentu, dan peniaga mungkin melaksanakan pembelian hanya untuk memastikan mereka bersedia pada musim monsun,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata harga dijangka mengalami turun naik, menjejaki pasaran niaga hadapan getah serantau, kekukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan penanda aras harga minyak mentah.

Beliau berkata ini susulan keyakinan terhadap kenaikan harga ekoran prospek penurunan pengeluaran getah asli disebabkan keadaan cuaca hujan di negara pengeluar getah.

“Pengendali pasaran akan memantau lagi petunjuk mengenai dasar monetari AS untuk menentukan hala tuju laluan kenaikan kadar faedah AS,” katanya.

Sepanjang minggu ini, pasaran getah tempatan didagangkan dalam aliran meningkat sejajar dengan kenaikan yang dicatatkan pasaran niaga hadapan getah serantau, kenaikan harga minyak mentah dan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS.

Harga rujukan bagi getah fizikal oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 melonjak 40.5 sen kepada 668 sen sekilogram daripada 627.5 sen sekilogram minggu lepas, manakala susu getah pukal meningkat sembilan sen kepada 477.5 sen sekilogram daripada 468.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang semalam, harga rujukan bagi getah fizikal oleh LGM untuk GMM 20 adalah 666 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pula pada 477 sen sekilogram. - BERNAMA
 

Advertisement