Anda di sini

Hujan lebat cetus banjir beberapa hari selepas taufan badai Hong Kong

Advertisement
Sebuah kereta dilihat melalui jalan raya yang dilanda banjir selepas hujan lebat di Pulau Lantau di Hong Kong semalam. — Gambar AFP
Sebuah kereta dilihat melalui jalan raya yang dilanda banjir selepas hujan lebat di Pulau Lantau di Hong Kong semalam. — Gambar AFP

HONG KONG: Penurunan hujan rekod di Hong Kong mencetuskan banjir yang merebak pada awal pagi semalam, mengganggu trafik jalan raya dan perkhidmatan rel hanya beberapa hari selepas bandar raya itu mengalami kerosakan besar akibat dibadai taufan.

Hong Kong Observatory (HKO), agensi cuaca di bandar raya itu, melaporkan penurunan hujan setiap jam 158.1 milimeter di ibu pejabatnya dalam jam sehingga tengah malam, yang paling tinggi sejak mula direkodkan pada 1884.

Pada lewat kelmarin, pihak berkuasa di bandar raya itu menyatakan beberapa daerah telah dilanda banjir dan perkhidmatan kecemasan melancarkan operasi menyelamat.

Orang awam telah diarahkan agar berada di tempat yang selamat.

“Hujan lebat akan mencetuskan banjir kilat,” kata HKO. 

“Penduduk yang tinggal dekat dengan sungai harus sentiasa berjaga-jaga dengan keadaan cuaca dan harus mempertimbangkan untuk berpindah sekiranya rumah mereka dinaiki air,” tambahnya.

Tiada kecederaan dilaporkan pada awal pagi semalam.

Pada awal minggu ini, Taufan Haikui meninggalkan jejak kemusnahan di pulau Taiwan sebelum merentasi selat dan muncul di wilayah Fujian di China pada Selasa.

HKO berkata hujan lebat terkini telah dibawa oleh “himpunan tekanan rendah yang dikaitkan dengan saki baki Haikui”.

Syarikat kereta api transit (MTR) di bandar raya itu mengumumkan ia akan menangguhkan separuh salah satu perkhidmatannya selepas sebuah stesen di daerah Wong Tai Sin dilanda banjir, dengan beberapa stesen lain turut terjejas.

Gambar yang tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta api MTR yang tidak berhenti di stesen Wong Tai Sin, yang dinaiki air hingga ke atas platformnya.

Rakaman video lain menunjukkan kereta dan bas yang separuh tenggelam di jalan raya utama.

Hujan lebat turut dilaporkan di hab teknologi China yang berhampiran di Shenzhen.

Shenzhen bersedia untuk melepaskan air dari kawasan tadahannya, kata pegawai Hong Kong yang menyuarakan kebimbangan ia akan mencetuskan banjir di utara Hong Kong.

Wilayah selatan China telah dilanda pada hujung minggu sebelumnya oleh dua taufan dalam keadaan berturut-turut – Saola dan Haikui.

Berpuluh juta orang di kawasan pesisir pantai yang mempunyai penduduk yang padat di selatan China telah berlindung di dalam rumah sebelum ribut itu.

Perubahan iklim telah menambahkan kekuatan ribut tropika, dengan lebih banyak hujan dan tiupan angin yang lebih kencang menyebabkan banjir kilat dan kerosakan, kata pakar. — AFP
 

Advertisement