Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka alami dagangan berhati-hati minggu depan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka terus mengalami dagangan secara berhati-hati minggu depan dengan pelabur bimbang mengenai prospek ekonomi yang suram, kata peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sentimen pelabur pasaran tempatan mungkin berubah berhati-hati dalam jangka masa pendek berikutan ketidaktentuan dalam pasaran serantau yang ketara.

“Memandangkan perubahan sentimen, kami menjangkakan indeks penanda aras berada dalam aliran berjulat 1,445 hingga 1,465 dengan paras sokongan pada 1,440 manakala rintangan serta-merta pada 1,465,” katanya kepada Bernama.

Peniaga lain pula berkata sentimen serantau kekal dipengaruhi oleh kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang berkemungkinan kekal lebih tinggi untuk tempoh yang lebih panjang selepas AS mencatatkan angka pasaran buruh yang kukuh.

Beliau berkata pelabur juga bimbang mengenai laporan bahawa China akan meluaskan larangan ke atas penggunaan iPhone, yang setakat ini mengakibatkan saham Apple mengalami penurunan selama dua hari, mengeluarkan hampir US$200 bilion (RM935 bilion) daripada modal pasarannya.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, FBM KLCI kebanyakannya didagangkan lebih rendah seiring dengan prestasi bursa serantau yang lemah ekoran sentimen pasaran yang negatif.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 8.48 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,454.95, daripada 1,463.43 pada minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 89.72 mata kepada 10,726.92; Indeks FBMT 100 turun 81.30 mata kepada 10,401.98; Indeks FBM Emas Syariah menguncup 110.33 mata kepada 10,887.55; Indeks FBM ACE kurang 39.26 mata kepada 5,188.83 dan Indeks FBM 70 merosot 198.25 mata kepada 14,135.72.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.20 mata kepada 172.74; Indeks Tenaga turun 0.67 mata kepada 855.47; Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 44.93 mata kepada 16,426.68 dan Indeks Perladangan susut 73.55 mata kepada 6,864.15.

Jumlah dagangan mingguan hampir tidak berubah pada 18.03 bilion unit bernilai RM10.77 bilion berbanding 18.03 bilion unit bernilai RM13.53 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 13.14 bilion saham bernilai RM9.61 bilion daripada 19.95 bilion saham bernilai RM12.47 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.79 bilion unit bernilai RM254.14 juta daripada 1.48 bilion unit bernilai RM222.87 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 3.06 bilion saham bernilai RM898.15 juta daripada 2.57 bilion saham bernilai RM821.64 juta sebelumnya. - BERNAMA
 

Advertisement