Anda di sini

Syarikat telco main peranan penting dalam mendukung era digitalisasi

Advertisement
(Dari kiri) Patrik, Farid dan Vijjayandran merakamkan kenangan pada program bicara TEK TALK secara langsung pada malam Khamis.
(Dari kiri) Patrik, Farid dan Vijjayandran merakamkan kenangan pada program bicara TEK TALK secara langsung pada malam Khamis.

KUCHING: Syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) memainkan peranan penting dalam mendukung era digitalisasi yang mengalami perkembangan pesat pada masa kini.

Malaysia antara lainnya, telah memasuki era digital dan sedikit demi sedikit terus mencatat pencapaian serta perkembangan komunikasi digital yang sangat progresif serta canggih.

Ketua Pegawai Eksekutif redONE Network Sdn Bhd Farid Yunus berkata, dalam mendukung era digitalisasi, redONE antara lainnya telah memperkenalkan ‘onboarding digital’ supaya pelanggan hanya perlu mengambil swafoto, mengambil gambar kad pengenalan diri mereka dan memuat naiknya dalam aplikasi redONE.

Pelanggan katanya, kemudian boleh memilih serta mengaktifkan pelan masing-masing.

"Tetapi sejujurnya, daya tarikan tidak begitu tinggi kerana untuk perkhidmatan seperti produk mudah alih, ia lebih berkesan apabila seseorang itu menjual produk secara bersemuka, sama ada secara maya mahupun fizikal," ujar Farid dalam program bicara TEK TALK oleh K Media Marketing yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook KROOM bermula jam 8 malam pada Khamis.

Program bicara itu menyaksikan Farid dijemput sebagai tetamu untuk mengupas topik 'Bagaimana untuk mentafsirkan komunikasi dan kerjasama dalam ekonomi digital hari ini melalui KROOM.'

Farid (kanan) pada program bicara TEK TALK secara langsung pada malam Khamis. Turut kelihatan (dari kiri) Vijjayandran dan Patrik.
Farid (kanan) pada program bicara TEK TALK secara langsung pada malam Khamis. Turut kelihatan (dari kiri) Vijjayandran dan Patrik.

Manakala, Pengurus Besar (Jualan) K Media Marketing Patrik Ting Ching Dong hadir sebagai hos serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) VYPA Corporation/VYPA Malaysia Sdn Bhd Vijjayandran dan Ketua Pegawai Eksekutif NETSTAIRS.Com. Inc. Dr Ahmad Moradi hadir memberikan pandangan mengenai topik itu.

Mengulas mengenai Google yang telah menyebut bahawa pihaknya akan memansuhkan kuki pihak ketiga pada 2024, Farid berkata sebaik sahaja kuki tiada, sama ada di media sosial atau Google, sudah tentu ia menjadi lebih sukar untuk mengejar segmen pelanggan semasa. 

"Kami mengejar kumpulan B40, peringkat bawah M40 dan orang dewasa yang bekerja. Itulah profil yang kami cari. Tanpa kuki, ia menjadikan keadaan lebih sukar.

"Namun, redONE mempunyai banyak maklumat mengenai pangkalan pelanggan sedia ada. Itulah sebabnya kami melancarkan pembiayaan mikro kepada pelanggan setia kami," katanya.

Saban hari katanya, pelan mudah alih telekomunikasi, data dan panggilan suara telah menjadi komoditi dengan semua pihak memanfaatkannya sebaik mungkin.

Justeru menurutnya, setiap syarikat telco berlumba-lumba untuk menawarkan harga termurah kepada para pelanggan.

"Itulah sebabnya di redONE, kami telah mempelbagaikan perkhidmatan kami dan bukan sekadar telco. Kami juga menyediakan jenis perkhidmatan bukan telco termasuklah urusan kad kredit serta insurans, antara lainnya," ujar beliau.

Mengenai sekuriti, Farid meyakinkan pelanggan redONE bahawa data pengguna redONE adalah selamat susulan pihaknya sangat aktif melaksanakan ujian penembusan.

"Kami mempunyai keselamatan siber yang sangat aktif (dengan) ujian penembusan (diadakan) untuk mengekalkan sekurang-kurangnya tiga tahap keselamatan bagi panggilan dan data peribadi kami.

"Sebagai syarikat telekomunikasi, kami sebenarnya mempunyai peraturan yang sangat ketat terutamanya berhubung PDPA (Akta Perlindungan Data Peribadi)," jelas beliau.

Sementara itu, Vijjayandran berkata Bilik Data Bersih (DCR) KROOM memainkan peranan dengan menawarkan pihak telco peluang kandungan yang dijana pengguna. 

Ekonomi digital katanya, berjalan pada platform KROOM serta boleh menjadi cadangan nilai baik untuk menambah model perniagaan yang mungkin dimiliki seseorang individu dan pada masa sama, individu itu mungkin mahu memperkenalkannya kepada pengguna.

"Terdapat juga banyak peluang tempat menjana kewangan baharu yang boleh dimanfaatkan di KROOM.

"KROOM akan menyediakan pengguna dan pelanggan ruang dalam Internet jauh dari bunyi bising (Internet) iaitu tempat mereka mendapat ruang yang diperibadikan, selain boleh melakukan semua keperluan ekonomi digital dengan keselamatan privasi," jelas Vijjayandran.

KROOM yang dibawakan oleh K Media ialah perkhidmatan langganan yang menyampaikan DCR yang mana selain penerbitan, boleh digunakan untuk tujuan termasuk pemasaran, penyelidikan perubatan dan perkhidmatan kewangan, pembelajaran jarak jauh, telekesihatan, perkhidmatan undang-undang dan banyak lagi.
 
 

  • oleh
  • Advertisement