Anda di sini

Lima fokus utama dalam Belanjawan 2024: Ewon

Advertisement
 Ewon (tengah) ketika dalam sesi dialog pada majlis berkenaan.
BERDIALOG: Ewon (tengah) ketika dalam sesi dialog pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menggariskan lima fokus utama dalam Belanjawan 2024 bagi KUSKOP.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ia penting bagi merealisasikan pembangunan ekonomi yang mampan dan mewujudkan negara keusahawanan unggul.

Katanya, lima fokus utama bagi Inisiatif Belanjawan 2024 itu dikenal pasti hasil daripada input-input yang diperolehi secara terus melalui sesi libat urus yang diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan mewakili persatuan, dewan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), koperasi dan agensi-agensi kerajaan.

“Antara fokus utama itu ialah mempertingkatkan penyertaan Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam sektor bernilai tinggi bagi menembusi pasaran global.

“Selain itu, kementerian juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kemampanan PMKS dan koperasi bagi meningkatkan daya saing ekonomi, memperkasa perusahaan mikro bagi menjamin kelangsungan perniagaan.

“Memperhebatkan keupayaan gerakan koperasi dalam rantaian bekalan dan memperkukuh ekosistem keusahawan sosial bagi menormalisasi impak sosial,” katanya ketika berucap pada Dialog Belanjawan 2024, bagi KUSKOP di sini, semalam.

Ewon berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab menyediakan sebuah ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif, KUSKOP sentiasa peka serta prihatin dalam memastikan para usahawan, koperasi terus berdaya tahan serta maju dalam pasaran tempatan seterusnya mempekembangkan pasaran ke luar negara.

“KUSKOP yang diberi mandat menerajui pembangunan bidang keusahawanan dan koperasi sentiasa komited membantu usahawan informal, PMKS dan koperasi dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata, objektif penyediaan Inisiatif Utama Belanjawan KUSKOP 2024 adalah untuk mencapai sasaran nasional yang ditetapkan dalam tempoh Kajian Separuh Panggal Rancangan Malaysia ke-12 dan menyumbang kepada pencapaian Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2023.

“Sasarannya agar sumbangan PMKS kepada KDNK meningkat sebanyak 41 peratus pada 2025 (semasa 38.4 peatus), meningkatkan jumlah eksport kepada 15 peratus pada 2025 (semasa 10.5 peratus) dan pendapatan koperasi meningkat sebanyak RM54 bilion pada 2025 (semasa RM45.5 bilion),” katanya.

Ewon berkata, penyediaaan inisiatif utama belanjawan ini sejajar dengan hala tuju kementerian dengan aspirasi Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat iaitu menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan darjat hidup rakyat.

“Hala tuju KUSKOP dibawah kerangka baharu ini adalah untuk meningkatkan daya saing PMKS dan Koperasi bagi mengukuhkan pasaran domestik serta menembusi pasaran global melalui pengantarabangsaan usahawan.

“Seterusnya memartabat, memanfaatkan potensi usahawan informal, mikro, kecil dan orang asal, bumiputera Sabah serta Sarawak,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement