Anda di sini

JCI Lutong bawa kanak-kanak lawat eFresh Hydroponic Farm 

Advertisement
Kanak-kanak dan ahli-ahli JCI Lutong yang terlibat menjayakan program Little Boss JCI Lutong merakamkan kenangan ketika melawat eFresh Hydroponic Farm di Kuala Baram, baru-baru ini.
Kanak-kanak dan ahli-ahli JCI Lutong yang terlibat menjayakan program Little Boss JCI Lutong merakamkan kenangan ketika melawat eFresh Hydroponic Farm di Kuala Baram, baru-baru ini.

MIRI: Dalam usaha mendedahkan kanak-kanak mengenai dunia pertanian lestari, Junior Chamber International (JCI) Lutong melalui program Little Boss membawa sekumpulan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun bersama ibu bapa masing-masing melawat eFresh Hydroponic Farm di Kuala Baram di sini, baru-baru ini.

JCI Lutong dalam kenyataan medianya berkata, lawatan itu bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai literasi kewangan dan keusahawanan selain memberi pengalaman secara langsung kepada mereka dalam bidang pertanian lestari.

eFresh Hydroponic Farm terkenal dengan teknik pertanian hidroponik inovatif adalah satu langkah penting untuk memupuk pemahaman lebih mendalam tentang pertanian untuk didedahkan kepada kanak-kanak yang menyertai lawatan tersebut.

“Mereka berpeluang menyaksikan secara langsung pertanian hidroponik dan mendapatkan pandangan tentang penanaman tanpa mengunakan kaedah tanah tradisional serta mencuba sayur-sayuran baharu dipetik seperti tomato ceri dan timun rasanya rangup.

Kanak-kanak dan ahli-ahli JCI Lutong yang terlibat menjayakan program Little Boss JCI Lutong merakamkan kenangan ketika melawat eFresh Hydroponic Farm di Kuala Baram, baru-baru ini.
Kanak-kanak dan ahli-ahli JCI Lutong yang terlibat menjayakan program Little Boss JCI Lutong merakamkan kenangan ketika melawat eFresh Hydroponic Farm di Kuala Baram, baru-baru ini.

“Kanak-kanak turut diberikan taklimat ringkas berkaitan penanaman hidroponik oleh pengendali di eFresh yang dikenali Encik Wong.

“Beliau berkongsi mengenai kepentingan amalan pertanian cekap air dan bagaimana amalan-amalan ini menyumbang kepada masa depan lebih hijau dan lestari,” jelas kenyataan itu.

Kanak-kanak terlibat turut aktif mengajukan soalan dan mengambil bahagian dalam perbincangan tentang faedah-faedah alam sekitar pertanian hidroponik.

 Mereka juga berpeluang meneroka fasiliti-fasiliti ladang termasuk sistem hidroponik bertaraf tinggi dan rumah-rumah hijau di mana kanak-kanak serta peserta lain melihat pelbagai jenis tanaman ditanam.

“Sebagai sebahagian komitmen program Little Boss terhadap pembangunan holistik, lawatan ini tidak hanya mendedahkan mereka kepada amalan pertanian inovatif, tetapi juga menanamkan dalam diri mereka rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar. 

“Diharap melalui lawatan pendidikan sebegini, mereka mendapat pengalaman berharga,” kata kenyataan itu.

JCI Lutong turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama eFresh Hydroponic Farm dan Shin Yang Agriculture serta ibu bapa yang membenar anak-anak mereka bersama menerokai bidang pertanian tersebut. 
 

  • oleh
  • Advertisement