Anda di sini

Siklon ragut 21 nyawa di selatan Brazil

Advertisement
 


BRASILIA: Hujan lebat dan angin yang dicetuskan oleh siklon luar tropika telah menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang maut di selatan Brazil, kata pihak berkuasa kelmarin, memberikan amaran lebih banyak banjir mungkin akan berlaku.

Kejadian terkini dalam rentetan bencana cuaca yang melanda Brazil, ia merupakan yang paling berbahaya di negeri Rio Grande do Sul, kata Gabenor Eduardo Leite dalam satu sidang media.

“Kami berasa sangat sedih menerima berita itu ketika air telah surut. Sebanyak 15 mayat lagi ditemui di pekan Mucum, meningkatkan angka kematian kepada 21 orang,” tambahnya.

Lebih 3,700 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat ribut, yang bermula pada Isnin, mencurahkan hujan batu dan hujan hingga lebih 300 milimeter (hampir 12 inci) di negeri itu dalam masa kurang dari 24 jam serta mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, kata pihak berkuasa.

Di Mucum, sebuah pekan kecil yang mempunyai 5,000 penduduk, beratus-ratus orang terpaksa diselamatkan dari atas bumbung kediaman mereka ketika sungai Taquari membanjiri lebih 85 peratus daripada bandar itu, lapor laman berita tempatan GZH.

“Masih terdapat orang yang hilang. Angka kematian mungkin akan meningkat lebih tinggi,” Datuk Bandar Mateus Trojan memberitahu Radio Gaucha.

“Pekan Mucum seperti yang kita kenali tidak lagi wujud.”

Pasukan penyelamat telah menggunakan beberapa helikopter untuk pergi ke kawasan yang terputus hubungan akibat banjir.

Presiden Luiz Inacio Lula da Silva menghantar pesanan solidariti dengan penduduk yang terjejas, menyatakan kerajaan persekutuan telah “bersedia untuk membantu”.

Mangsa termasuk seorang lelaki yang maut akibat renjatan elektrik di pekan Passo Fundo dan satu pasangan yang kereta mereka dihanyutkan oleh air sungai ketika cuba untuk menyeberangi jambatan di pekan Ibiraiaras.

Ribut telah melanda lebih 60 bandar, menjejaskan lebih 50,000 orang, kata pihak berkuasa.

Daerah berhampiran Santa Catarina turut merekodkan satu kematian, lapor laman berita G1.

Dengan lebih banyak hujan diramalkan bermula Khamis, pihak berkuasa memberikan amaran bahawa lebih banyak banjir mungkin akan berlaku.

Ia adalah yang terkini dalam rentetan bencana cuaca berbahaya yang akan melanda Brazil, yang menurut pakar kemungkinan akan bertambah buruk akibat perubahan iklim.

Urbanisasi yang tidak diperiksa dan perumahan tidak teratur dibina di tepi bukit burut membuatkan bencana sebegitu lebih berbahaya, kata pihak berkuasa.

Dianggarkan 9.5 juta daripada 203 juta orang di Brazil tinggal di kawasan yang berisiko tinggi bagi banjir  atau tanah runtuh.

Pada Jun, satu lagi siklon menyebabkan 13 kematian di Rio Grande do Sul dan memaksa ribuan orang meninggalkan rumah mereka.

Serta pada Februari, 65 orang maut dalam kejadian tanah runtuh berpunca daripada banjir rekod di pekan peranginan tenggara Sao Sebastiao, di pantai Sao Paulo. — AFP
 

Advertisement