Anda di sini

Aliran FDI ASEAN: Berapa banyak yang boleh diraih Malaysia?

Advertisement
 

Oleh Tengku Zafrul 
 
MINGGU lepas, pada 19 - 20 Ogos saya berada di Semarang, Indonesia, bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang ke-55 (AEM), di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) melaporkan aliran Pelaburan Langsung Asing (FDI) ASEAN bagi tahun 2022.

Angka ini telah meningkat sebanyak 5% tahun-ke-tahun, kepada AS$224 bilion, menongkah arus di pelbagai pasaran dunia, dan bilamana FDI global merundum 12% pada tahun 2022. 

Ini adalah aliran FDI tertinggi yang pernah dicatatkan bagi ASEAN, langsung menobatkan ASEAN sebagai penerima tertinggi pelaburan dalam kalangan ekonomi membangun.

Sumbangan ASEAN kepada FDI global juga semakin berkembang, daripada purata tahunan di bawah 10% dalam sedekad lepas, kepada lebih daripada 17% pada tahun 2022! 

FDI sektor pembuatan ASEAN meningkat kepada tahap tertinggi sebanyak AS$62 bilion, susulan pertumbuhan lebih 400% pada tahun 2021. Sumbangan sektor pembuatan daripada jumlah FDI keseluruhan meningkat dari 9% pada tahun 2020 dan 26% pada tahun 2021, kepada 28% pada tahun 2022. 

ASEAN jelas merupakan 'pelampung di lautan bergelora' dalam rantaian bekalan dunia, sama ada disebabkan oleh sekatan COVID yang berpanjangan di China, konflik Rusia-Ukraine atau faktor-faktor lain. 

Penyusunan semula rantaian bekalan antarabangsa akan membawa lebih banyak peluang bagi ASEAN, apabila ketegangan geopolitik, sebagai contoh, membina momentum yang memberikan kelebihan kepada ASEAN sebagai pusat penempatan semula.

Ini telah mendorong pelabur untuk memperluas kapasiti secara proaktif, mengukuhkan tapak serantau, dan memperkukuhkan rantaian bekalan berdasarkan strategi China+1. Ini adalah peluang yang berharga bagi Malaysia yang ingin menarik lebih banyak pelaburan! 

Walau bagaimanapun, peluang ini mungkin tidak kekal lama, oleh itu Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) sedang giat berusaha untuk menarik sebanyak mungkin pelaburan ini ke Malaysia. 

MITI akan melaksanakannya melalui tiga cara utama. Pertama, dengan menambah baik proses perjalanan pelabur; kedua, dengan menyusun semula ekosistem industri pembuatan kita; dan ketiga, dengan menyediakan ekosistem yang kondusif untuk pelaburan mampan. 

  
Mengatasi Isu-Isu dalam Perjalanan Pelabur, untuk Selamanya! 

 
Ketika saya berada dalam sektor perbankan, satu aspek utama yang mempengaruhi penerimaan produk dan perkhidmatan kami adalah perjalanan pelanggan (customer journey). Ini sangat penting sehingga kebanyakan kumpulan perbankan telahpun menubuhkan jabatan pengalaman pelanggan. 

Sama juga, dalam usaha menarik pelaburan ke negara ini, kita ada perjalanan pelabur. Kami telah mengenal pasti 13 isu-isu utama (pain points) dalam perjalanan pelabur yang merangkumi promosi dan pemasaran, rundingan perjanjian, pelaksanaan pelaburan dan perkhidmatan pasca-pelaburan. 

Dari segi promosi pelaburan, pihak media, komuniti pelaburan dan entiti seperti Bank Dunia, dewan-dewan perdagangan luar negeri dan Persatuan Pembuatan Malaysia sering menyatakan bahawa program awam melalui pelbagai Agensi Promosi Pelaburan (IPA) adalah tidak selaras, mengakibatkan kebingungan pelabur.

Ini juga menambahkan kos kepada pembayar cukai, dan mengurangkan daya saing berbanding negara-negara jiran. 

Jadi, adalah penting untuk kita menyelaraskan peranan dan fungsi IPA untuk meningkatkan daya tarikan pelaburan kita, dan pada masa yang sama menangani isu ketidakcekapan proses kerajaan di seluruh negara. 

Pada bulan Mei lalu, Majlis Pelaburan Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah memutuskan bahawa IPA utama Malaysia adalah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dan peranan IPA lain perlu difokus semula kepada kemudahan dan perkhidmatan pasca-pelaburan. Kami menyasarkan untuk mencapai matlamat ini menjelang 1 Januari 2024, tarikh yang ditentukan oleh PM kita sendiri. 

Transformasi Industri Pembuatan Kunci untuk Pertumbuhan Ekonomi Senegara 

 Cara kedua untuk menarik pelaburan yang masuk ke ASEAN adalah dengan mentransformasi industri pembuatan kita. Satu dapatan daripada pelbagai kumpulan pemikir adalah bahawa pertumbuhan KDNK kita tidak selari dengan pertumbuhan sosioekonomi, atau tidak menjana satu kedudukan yang lebih baik bagi SME dan rakyat kami. 

Satu contoh serupa: walaupun aliran FDI ke dalam ASEAN adalah adalah satu rekod baharu, namun 60% daripadanya dinikmati oleh kurang daripada 1% penduduk ASEAN! Ketidakseimbangan ketara ini mesti dielakkan untuk Malaysia! Manfaat pelaburan mesti juga dinikmati oleh sektor PKS, dan jutaan pekerja Malaysia dalam sektor pembuatan. 

Dalam banyak kes, walaupun syarikat-syarikat besar meraih keuntungan besar, pekerja Malaysia dalam kategori bayaran terendah terpaksa hidup dengan gaji rendah selama beberapa dekad, disebabkan oleh dasar pekerja asing yang telah lama membantutkan kenaikan gaji umum dalam pasaran buruh kita. Ini mesti diubah.

Kami faham bahawa produktiviti yang lebih tinggi juga memainkan peranan dalam meningkatkan gaji, tetapi kita juga perlu akui bahawa ketiadaan dasar gaji progresif menjadikan pihak majikan kurang cenderung untuk meningkatkan nisbah gaji dalam perniagaan mereka. 

MITI yakin dengan ekosistem pembuatan yang ditransformasi, pelabur asing dan domestik akan terus terdorong untuk memperluas pelaburan sedia ada mereka, dan membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja Malaysia.

Namun, ini tidak bermakna kita akan menerima apa sahaja jenis pelaburan untuk diluluskan, kerana ianya harus selari dengan pembanguna mampan yang menyokong agenda Ekonomi MADANI jangka panjang kami.

Ini termasuk menjadikan Malaysia salah satu daripada 30 ekonomi terbesar di dunia, serta dalam tangga 12 teratas dari segi daya saing dan kemudahan menjalankan perniagaan. 

MITI telah berkali-kali berkongsi bahawa kita akan menarik lebih banyak pelaburan dalam industri teknologi tinggi seperti aerosangkasa dan ekonomi digital. Sektor-sektor ini akan membantu membangunkan PKS dan rakyat kita dari segi teknologi tinggi dan pekerjaan bergaji lebih tinggi. 

Pada 1 September 2023, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Masterplan 2030/NIMP2030) akan dilancarkan.

Kami yakin ia bakal mentransformasikan sektor pembuatan secara menyeluruh, dengan manfaat yang lebih sama rata di kalangan pihak berkepentingan seperti PKS dan pekerja.  

Apabila pekerja mendapat gaji lebih tinggi, ini bukan hanya akan menghalang penghijrahan bakat ke negara-negara lain, tetapi juga membina semula golongan pertengahan yang kemudiannya akan menggunakan lebih banyak produk yang dihasilkan oleh sektor pembuatan. Oleh itu, suatu kitaran yang baik dicipta untuk pertumbuhan ekonomi seterusnya! 

Pelaburan di Malaysia: Penghijauan atau Pupus? 

 Cara ketiga untuk menarik pelaburan adalah untuk menunjukkan keseriusan kita dalam misi penyahkarbonan dan penghijauan ekonomi kita.

Malah, kita kini berada dalam kedudukan yang baik di mana Malaysia kembali dalam radar pelabur global, dan ASEAN sedang menerima aliran pelaburan hijau yang semakin meningkat.

Pada tahun 2022, pelaburan dalam sektor kenderaan elektrik ASEAN meningkat sebanyak 570%, manakala pelaburan hijau dalam sektor tenaga boleh diperbaharui berkembang sebanyak 240%. 

MITI dan agensi-agensinya bertekad untuk memanfaatkan gelombang ini, sambil menyokong pembangunan kapasiti ESG dan peralihan adil ke arah mempraktikkan amalan ESG, terutama untuk PKS kami. 

Mengenai pembangunan kapasiti, saya gembira untuk berkongsi bahawa Kerangka ESG Industri Kebangsaan (i-ESG) kami untuk Sektor Pembuatan juga akan dilancarkan menjelang akhir September 2023.

Saya juga telah menjelaskan pendirian saya tentang peralihan ESG yang adil untuk SME semasa perbincangan EU-ASEAN di AEM yang ke-55. 

Kesimpulan 

Walaupun pelaburan adalah tanggungjawab MITI, kami sedar bahawa usaha menarik lebih banyak pelaburan memerlukan kerjasama senegara, berlandaskan transformasi dalam ekosistem pembuatan kita.

Dalam hal ini, kita semua perlu memainkan peranan masing-masing dalam membina masa depan yang lebih berdaya tahan, sejahtera dan mampan bagi manfaat sektor perniagaan, PKS dan rakyat Malaysia yang dicintai.

Advertisement