Anda di sini

Salah guna dadah, wanita didenda RM2,500 

Advertisement
 

KUCHING: Padah mengambil dadah jenis Methamphetamine, Methylenedioxyamphetamine (MDA) dan 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), seorang wanita berusia 31 tahun didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali juga memerintahkan tertuduh, Chuo Yee Chien, untuk dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Syarifah juga mengarahkan tertuduh untuk menjalani dua tahun pengawasan polis.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine, MDA dan MDMA yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Jun 2023 sekitar jam 10.05 pagi di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Kontinjen Kuching.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement