Anda di sini

Inisiatif RAKYATpreneur, Bank Rakyat UNIpreneur bantu 1,833 usahawan dan siswa asnaf

Advertisement
 Ewon semasa merasmikan Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2023 di Dewan Tun Abdul Razak Menara Kembar Bank Rakyat.
RASMI: Ewon semasa merasmikan Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2023 di Dewan Tun Abdul Razak Menara Kembar Bank Rakyat.

KOTA KINABALU: Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur berjaya membantu 1,833 usahawan dan siswa meningkatkan taraf hidup sejak diperkenalkan pada 2020 dan 2021.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif keusahawanan Bank Rakyat ini seiring dengan hasrat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

Katanya kejayaan program ini juga hasil kolaborasi beberapa agensi termasuk UiTM Technoventure Sdn. Bhd. sebagai rakan pelaksana program RAKYATpreneur 2023 serta 20 Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Program RAKYATpreneur 2023 ini adalah siri keempat penganjurannya sejak program rintis diperkenalkan pada 2020. 

“Hasil daripada pencapaian dan sokongan yang amat memberangsangkan setiap peserta mendorong kesinambungan penganjuran program ini bermula Jun hingga November 2023 dengan penyertaan seramai 300 orang usahawan asnaf dari seluruh negara.

“Program Bank Rakyat UNIpreneur pula memasuki tahun ketiga sejak program rintisnya diperkenalkan pada tahun 2021 dengan penyertaan seramai 500 orang siswa asnaf yang dipillih dari seluruh negara,” katanya semasa merasmikan Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2023 di Dewan Tun Abdul Razak Menara Kembar Bank Rakyat.

Turut hadir Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan KUSKOP Datuk Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pemantauan KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Dr. Mohammad Hanis Osman.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada 800 usahawan asnaf yang terpilih untuk mengikuti program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2023 ini yang mana akan mengubah masa depan dan juga perniagaan yang diusahakan.

Katanya jumlah penyertaan yang amat memberangsangkan ini membuktikan keberkesanan kedua-dua program seiring kejayaan pelbagai pencapaian dan prestasi dari segi keuntungan perniagaan, peluasan capaian pasaran serta penjenamaan produk.

“Program seumpama ini perlu dipuji kerana membuka peluang serta pendedahan kepada usahawan dan siswa yang berpotensi daripada golongan asnaf untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan menerusi suntikan dana, modul latihan dan bimbingan holistik yang disediakan.

“Kedua-dua program ini juga adalah inisiatif kewangan sosial bagi rangkuman program iTEKAD yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang mampu memberi impak lebih meluas khususnya kepada golongan usahawan asnaf dan mikro yang menghadapi kekangan dalam mendapatkan bantuan dan sumber kewangan,” katanya.

Tambahnya menerusi intervensi daripada institusi kewangan seperti Bank Rakyat ini juga mampu membantu meningkatkan keupayaan usahawan asnaf dan B40 dalam membentuk kedudukan kewangan yang lebih kukuh bagi menghadapi cabaran atau rintangan kewangan di luar jangkaan pada masa hadapan.

Dalam pada itu katanya, program pembangunan usahawan ini menunjukkan komitmen Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang

prihatin terhadap kesejahteraan dan kemampanan usahawan khususnya daripada golongan asnaf sejajar dengan nilai Malaysia Madani.

Tambahnya inisiatif ini juga bertepatan dengan agenda utama program hak asasi global, Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG), dalam membasmi kemiskinan menjelang 2030 menerusi dana dan bimbingan secara inklusif yang disediakan bagi mentransformasi usahawan asnaf seterusnya menjadi pembayar zakat.

  • oleh
  • Advertisement