Anda di sini

Cadangan bayaran kepada suri rumah disokong 

Advertisement

Kerajaan cadang kenal pasti mekanisme pembayaran bagi hargai jasa, pengorbanan mereka urus rumah tangga

MAXWELLEN
MAXWELLEN

KUCHING: Suri rumah merupakan salah satu pekerjaan tanpa gaji yang yang menjadi tunjang dalam institusi keluarga.

Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mencadangkan untuk mengenal pasti satu mekanisme pembayaran bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam menguruskan rumah tangga.

Tinjauan Utusan Borneo hari ini mendapati rata-rata rakyat Sarawak yang ditemui menyokong usaha itu dalam memperkasakan ekonomi golongan wanita berkenaan.

Kakitangan awam, Maxwellen Gibson, 32, bersetuju dengan cadangan tersebut, namun katanya ia bukan perkara baharu kerana anggota tentera wajib membuat potongan gaji ke akaun isteri dan ibu.

“Pihak pengurusan tentera telah membuat penetapan jumlah potongan gaji anggota mereka untuk dimasukkan ke akaun isteri atau ibu mereka.

“Cadangan ini boleh diimplementasi kepada suami-suami yang bekerja di sektor awam yang lain dan swasta tapi perlu melihat kepada tangga gaji mereka,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu badan untuk mengkaji keberkesanan mekanisme tersebut sebelum dilaksanakan.

“Kita perlu lihat berapa ketetapan yang harus dipotong daripada gaji si suami untuk isteri, berapa gaji minimum suami yang sesuai untuk dimasukkan dalam mekanisme ini.

“Kerajaan juga perlu melihat keperluan untuk tidak mewajibkan si suami mengikut mekanisme pembayaran ini jika isteri mereka bekerja,” katanya.

BERYLN
BERYLN

Usahawan pembuatan kek, Beryln Berni Ajuk, 35, berkata, cadangan ini amat membantu kepada suri rumah yang berdepan dengan masalah ekonomi keluarga.

“Pemberian ini adalah seperti gaji dan ia dapat digunakan untuk membeli barangan peribadi isteri atau menampung sedikit keperluan anak-anak.

“Jika ekonomi suri rumah dapat diperkasakan, tiada isu untuk menyediakan makanan di atas meja kepada keluarga,” katanya yang mempunyai lima orang anak.

Beliau turut mencadangkan langkah awal yang boleh diambil kerajaan adalah melalui pemotongan gaji para suami secara automatik untuk diberikan kepada isteri kerana ada sesetengah suami yang mampu tetapi culas dalam memberi nafkah.

RAYMOND
RAYMOND

Bagi Raymond Menjang, 43, yang bekerja dalam sektor awam pula, walaupun menyambut baik inisiatif itu namun berharap agar terma mekanisme elaun ditukar kepada pemberian insentif kepada suri rumah.

“Pengurusan rumah tangga adalah tanggungjawab bersama dalam keluarga dan tidak sepatutnya dilihat sebagai pekerjaan yang boleh dibayar.

“Mekanisme pembayaran boleh mencetuskan isu-isu seperti kesetaraan dalam hubungan dan mengukur nilai sebenar pekerjaan rumah tangga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mohon agar kerajaan mempertimbangkan mekanisme insentif melalui program kebajikan masyarakat yang menyediakan sokongan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah.

“Saya juga menggalakkan kerajaan memperkenalkan faedah cukai, potongan atau kredit untuk keluarga yang mempunyai tanggungan supaya dapat membantu menggalakkan pengagihan sumber yang lebih adil dalam isi rumah.

“Selain itu kerajaan juga boleh menyediakan akses bersubsidi atau percuma kepada perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, penjagaan anak dan latihan vokasional agar dapat meringankan beban suri rumah dan membolehkan mereka mempunyai lebih banyak masa untuk pembangunan peribadi,” jelasnya.

JEAKQLEYN
JEAKQLEYN

Sementara itu, Jeakqleyn Yacho, 32, yang bekerja sebagai pemasar digital dalam sektor swasta berpendapat cadangan itu dapat memberi perlindungan sosial kepada suri rumah.

“Secara realitinya, suri rumah merupakan antara pekerjaan yang mempunyai tugas yang banyak bermula dari bangun tidur sehingga melelapkan mata pada malam hari.

“Tugas menguruskan rumah tangga seperti memasak, basuh baju, mengemas dan menguruskan anak tidak pernah selesai.

“Oleh itu, mekanisme pembayaran kepada suri rumah perlu dikenal pasti bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dan ia sedikit sebanyak akan dapat membantu memperkasa institusi keluarga,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement