Anda di sini

Pilih yang terbaik untuk kanak-kanak berkeperluan khas, kata Dr Sim

Advertisement
Dr Sim (tengah), Fatimah (depan, kanan) dan yang lain ketika merasmikan OSEIC di Dalat.
Dr Sim (tengah), Fatimah (depan, kanan) dan yang lain ketika merasmikan OSEIC di Dalat.

MUKAH: Kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan pilihan yang terbaik daripada ibu bapa mereka untuk meneruskan kehidupan.

Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata mereka tidak mempunyai apa-apa pilihan atas keistimewaan dikurniakan ketika dilahirkan di dunia ini.

"Ketika lahir (sebagai insan istimewa), mereka tidak mempunyai pilihan dan sekarang kita memilih apa yang terbaik untuk mereka," katanya pada Majlis Perasmian Dalat Play Centre dan Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) di Kompleks Kebajikan Dalat hari ini.

Dalat kini mempunyai OSEIC sebagai projek rintis luar bandar setelah pusat sama dibangunkan di Kuching.

Dalam pada itu, kini Dalat juga mempunyai Play Centre khas untuk kanak-kanak.

Katanya, ini adalah satu gabungan terbaik dan harus dicontohi setiap wakil rakyat.

Menyedari betapa pentingnya asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak, pada 27 Julai 2020, SeDidik diambil alih secara rasmi oleh Kerajaan Sarawak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK).

Selain mengambil alih SeDidik, Kerajaan Sarawak juga meningkatkan geran operasi SeDidik daripada RM5 juta setahun kepada RM20 juta, menunjukkan komitmen Sarawak mengiktiraf kepentingan industri pendidikan dan asuhan awal kanak-kanak.

Dengan itu, anak-anak Sarawak dapat belajar dalam persekitaran selamat dan kondusif.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan  Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dalam ucap tamanya berkata OSEIC bakal dibangunkan di Miri, Kapit dan Bintulu.

"Ini bagi kawasan luar bandar dan kita di Dalat adalah projek rintis untuk kawasan luar bandar," jelasnya.

Pada masa sama, Fatimah turut mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan 38 Yayasan Amal Cinta yang memberikan dana sejumlah RM68,000 kepada Dalat Play Centre.

Katanya, ini sebagai satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) diberikan oleh badan tersebut.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi.
 

  • oleh
  • Advertisement