Anda di sini

Kerjasama PPASM-LLA perkenal keindahan Sabah melalui MIM2023

Advertisement
 Jawed bersalaman dengan kakitangan LLA sebaik menandatangani MoU di sini.
MOU: Jawed bersalaman dengan kakitangan LLA sebaik menandatangani MoU di sini.
 Kakitangan LLA dan PPASM merakamkan gambar kenangan bersama finalis MIM2023.
KENANGAN: Kakitangan LLA dan PPASM merakamkan gambar kenangan bersama finalis MIM2023.

KOTA KINABALU: Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia (PPASM) menjalin kerjasama dengan Layang Layang Aerospace Sdn Bhd (LLA) bagi memperkenalkan keindahan Sabah melalui ruang udara sepanjang penganjuran Miss International Malaysia 2023 (MIM2023) di negeri ini.

Presiden PPASM dan MIM2023 Jawed Khan berkata penganjuran acara sebagai platform yang diiktiraf di peringkat global, akan menarik penonton dari sudut di seluruh dunia bukan hanya memperkasa wanita tetapi juga menggalakkan evolusi MIM2023 menjadi teladan yang memberi inspirasi kepada golongan belia melalui pelbagai program yang dibawakan sepanjang pertandingan ini. 

“Sebelum acara kemuncak bagi pemilihan MIM2023, peserta akan melibatkan diri dengan masyarakat setempat terutama golongan belia sebagai salah satu inisiatif menangani kebimbangan sosial dan menggalakkan pembangunan mampan. 

“Secara tidak langsung MIM2023 memperlihatkan amalan pendidikan, pemerkasaan wanita, pemuliharaan alam sekitar dan serta amalan budaya setiap peserta meliputi pelbagai aspek bagi memupuk kesan positif dan penerimaan warisan kepelbagaian dalam komuniti,” katanya semasa berucap pada Majlis  Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama LLA di sini.

Beliau berkata sepanjang aktiviti terbabit dijalankan, pertukaran budaya dan bengkel juga akan menjadi tumpuan utama termasuk memperkenalkan kepelbagaian budaya serta keindahan semulajadi yang ada di Sabah.

“Acara ini juga mengutamakan amalan pelancongan yang bertanggungjawab, memelihara khazanah semula jadi Malaysia sambil menggalakkan industri pelancongan mampan di dalam dan luar negara. 

“Dalam memastikan acara ini mendapat kesan positif termasuk komuniti setempat, PPASM mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan LLA dalam jelajah udara MIM2023.

“Penggabungan acara bertaraf antarabangsa dengan kepakaran yang ada pada LLA mampu mempamerkan keindahan Sabah kepada dunia seterusnya meningkatkan kebanggaan masyarakat dan memelihara mercu tanda budaya yang ada di dalam negara,” katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Kumpulan LLA Kapten Shahdon Poong berkata tawaran menjadi rakan jelajah udara rasmi MIM2023 dilihat sebagai idea bernas untuk mempromosikan Sabah Negeri Dibawah Bayu dari ruang udara. 

“Beberapa minggu sebelum pertandingan MIM2023, semua finalis berpeluang menaiki helikopter milik LLA dalam menjelajah ruang udara di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu. 

“Jurugambar profesional dan juruvideo dari Talent Shop Sabah turut menyertai finalis dalam penerbangan bagi merakam setiap detik jelajah udara sebelum disiarkan di media sosial yang boleh memperlihatkan keindahan Sabah kepada dunia.

“Penerbangan dijadualkan akan berlangsung bermula jam 8:00 hingga 10:00 pagi, tertakluk kepada keadaan cuaca dan tarikh sesuai pada September depan,” katanya.

Beliau berkata laluan penerbangan merangkumi perjalanan yang menakjubkan dari LLA ke kawasan ibu negeri, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan berakhir di perairan Pulau Manukan, Pulau Sapi dan Pulau Gaya.

“Penerbangan ini memberikan peserta satu pengalaman luar biasa dan mengagumkan dengan lanskap pemandangan yang indah di kawasan mercu tanda budaya Kota Kinabalu dan pulau sekitarnya. 

“Peluang keemasan ini bukan hanya memberikan  pengalaman baharu kepada peserta malah  menyerlahkan keindahan dan kemegahan Sabah seterusnya mempamerkan komitmen LLA untuk memupuk pertukaran budaya dan mempromosikan industri pelancongan Sabah,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement