Anda di sini

Lelaki Indonesia mengaku masuk secara haram dipenjara empat bulan, satu sebatan 

Advertisement
Tertuduh (kiri) keluar dari kamar mahkamah sambil diiringi polis selepas selesai dijatuhkan hukuman.
Tertuduh (kiri) keluar dari kamar mahkamah sambil diiringi polis selepas selesai dijatuhkan hukuman.

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan satu sebatan terhadap seorang lelaki dari Pontianak, Indonesia selepas dia mengaku bersalah masuk ke Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Hakim Saiful Bahari Adzmi memerintahkan tertuduh, Muhammad Reza, 23, dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 19 Julai 2023, sekitar jam 8.30 malam di sebuah premis di Jalan Keretapi di sini. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama yang sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat maksimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis melakukan serbuan terhadap premis berkenaan kerana mengesyaki terdapat aktiviti perjudian dalam talian. 

Semasa pemeriksaan dilakukan, polis mendapati tertuduh gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. 

Semakan pangkalan data imigresen juga mendapati tertuduh tidak mempunyai dokumen atau pasport sah seperti dalam butiran cetakan rekod Sistem Kawalan Imigresen yang dikeluarkan oleh JIM Sarawak.

Selain itu, tertuduh gagal meninggalkan Malaysia dan terus berada di Sarawak secara tidak sah. 

Dalam pada itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret hari ini kerana mengendalikan mesin perjudian dalam talian dalam kejadian sama.

Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi sebaik didakwa mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Pendakwaan kes dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement