Anda di sini

Keusahawanan koperasi diterima baik belia di rantau Asia

Advertisement
 Zahid (tengah), Ewon (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama pemenang pertama Coop Pitch dari Indonesia.
TAHNIAH: Zahid (tengah), Ewon (tiga kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama pemenang pertama Coop Pitch dari Indonesia.

KOTA KINABALU: Penglibatan golongan belia dalam bidang keusahawanan koperasi mampu memberi keberhasilan yang tinggi sekali gus menyuntik semangat kepada generasi muda.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keusahawanan koperasi juga semakin diterima baik dalam kalangan belia terutama di rantau Asia.

Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi sambutan yang memberangsangkan daripada golongan berkenaan dalam program 'Asia Pasific Cooperative Youth Summit' 4.0 (APCYS4.0).

"Kita menggalakkan koperasi belia di Malaysia diperkasakan agar mampu melahirkan produk-produk koperasi di peringkat serantau seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.

"Gerakan koperasi sudah lama bermula di Malaysia, tetapi kita mesti berada selangkah ke hadapan dari negara-negara lain kerana Perdana Menteri kita berhasrat negara ini menjadi 'harimau ekonomi' di rantau ini.

"Koperasi adalah salah satu cabang untuk memperkukuh dan  memperkasakan ekonomi Malaysia," katanya ketika merasmikan penutupan APCYS4.0 di sini, har ini. Hadir sama Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, penglibatan belia dalam koperasi melibatkan tiga aspek iaitu pertama koperasi bukan hanya sebuah badan sukarelawan tetapi ia akan mewujudkan perasaan untuk berurus niaga dengan memberikan keutamaan.

Kedua katanya, ia mewujudkan budaya perniagaan dan ketiga, tidak hanya melihat kepada produk tetapi juga perkhidmatan serta aspek lain.

"Contohnya, aspek yang berkaitan dengan bagaimana luar bandar dan perbezaan ini harus diberikan keutamaan supaya pertumbuhan ekonominya seimbang.

"Gerakan koperasi dengan mewujudkan keusahawanan dalam kalangan generasi muda mesti diselarikan agar ia berkembang dengan lebih cepat dengan memberikan latihan tidak formal kepada para belia baharu yang terlibat dalam perniagaan atau koperasi," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementeriannya berperanan mewujudkan koperasi luar bandar.

"Ia sudah lama diwujudkan di peringkat kampung, kawasan felda dan kampung baharu, tetapi apa yang menarik yang dibuat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) adalah berhasrat untuk memperluaskan koperasi dalam negara ini ke peringkat antarabangsa.

"Saya juga berpendapat potensinya luas kerana mereka sangat komited untuk membawa koperasi ke peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Zahid  menjelaskan sistem baharu akan diwujudkan bagi menggantikan penggunaan bateri lama pada panel solar kepada bateri berkonsepkan kenderaan elektrik (EV).

Katanya, tidak dinafikan terdapat kesukaran untuk memasang panel solar khususnya di kawasan luar bandar pada bumbung rumah pengguna.

"Usaha pemasangan kemudahan itu sudah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak sebelum ini sejak 10 tahun lalu, tetapi kerana sistem penukaran bateri itu hanya diberikan kepada satu pihak.

"Sabah dan Sarawak terlalu luas kawasannya, maka adalah tidak praktikal selain mengambil masa yang akhirnya kawasan-kawasan yang menggunakan tenaga solar ini akan mengalami kegelapan yang lebih lama," katanya.

Sehubungan itu jelasnya, kaedah baharu akan diperkenalkan dengan menggunakan bateri EV. Teknologi ini akan mewujudkan 'game changer' dalam pembekalan elektrik ke kawasan luar bandar.

  • oleh
  • Advertisement