Anda di sini

Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 melabuhkan tirainya hari ini

Advertisement
 Ahmad Zahid (tengah) menyempurnakan majlis penutupan BKK'23 bersama tetamu kehormat yang lain, kemudian menyampaikan anugerah kepada para pemenang sempena majlis itu.
RASMIKAN: Ahmad Zahid (tengah) menyempurnakan majlis penutupan BKK'23 bersama tetamu kehormat yang lain, kemudian menyampaikan anugerah kepada para pemenang sempena majlis itu.


KOTA KINABALU: Koperasi Peserta-Peserta Rancangan (KPR) FELCRA Seberang Perak Berhad menerima Anugerah Hari Koperasi Negara 2023 bagi kategori Koperasi Terbaik Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani manakala Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) bagi kategori Sektor Perladangan.


Penyampaian anugerah berkenaan telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid pada majlis penutupan Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK’23), dekat sini hari ini.


Jumlah perolehan KPR Seberang Perak dan KPF telah mencatatkan sebanyak RM470,249,000 sehingga Disember 2022.

 
Turut disampaikan enam lagi anugerah iaitu Koperasi Terbaik Sektor Pembangunan Hartanah dan Industri Pembinaan yang dimenangi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad (KTMSAB); Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan pula dimenangi Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) manakala bagi Koperasi Terbaik Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan dianugerahkan kepada Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad (KGMKB).


Bagi Koperasi Terbaik Sektor Kewangan telah dimenangi oleh Koperasi Koswip Malaysia Berhad (KOSWIP) manakala untuk kategori Koperasi Harapan dianugerahkan kepada Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Keningau Sabah Berhad (KPSM Keningau) dan anugerah Koperasi Khidmat Masyarakat dimenangi Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad (Al-Bait).


Setiap pemenang anugerah membawa pulang sijil, plak dan wang tunai sebanyak RM15,000.

 
Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merupakan rangkuman kepada BKK’23, Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi (MAGK’23) dan Hari Koperasi Negara (HKN’23).


Ahmad Zahid dalam ucapan penutupan perasmian berkata, negara perlu mengambil contoh gabungan koperasi pertanian di Korea iaitu Federasi Koperasi Pertanian Kebangsaan (NACF) yang menjadi organisasi puncak bagi 1,118 koperasi dengan gabungan keahlian seramai 2.1 juta petani.

 
"Petani ini merupakan pemilik, pengguna dan pengawal koperasi mereka. Federasi itu menyokong koperasi anggota dengan menyediakan sistem koperasi untuk petani Korea yang majoritinya mengalami masalah kapasiti pengeluaran yang lemah dan sumber kewangan yang tidak mencukupi.


"Federasi itu telah berjaya memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Korea dan berkembang menjadi salah satu koperasi paling berjaya di dunia,” katanya.


Jelas beliau, kerajaan yakin sekiranya gerakan koperasi di negara ini terus diperkasa menerusi inisiatif gabungan federasi terutama bagi sektor makanan dan pertanian, jaminan keselamatan makanan negara akan dapat diperkukuhkan seterusnya mengimbangi kos harga makanan yang semakin meningkat.


Ia selari dengan elemen kemampanan dan kesejahteraan Malaysia MADANI sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.


Hadir sama pada majlis penutupan BKK’23 yang diadakan di salah sebuah hotel di ibu negeri Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar serta wakil-wakil agensi.

  • oleh
  • Advertisement