Anda di sini

KUSKOP, PERNAS diharap sedia peruntukan lebih besar bangun usahawan francais di Sarawak

Advertisement
Ripin bersama tetamu jemputan bergambar bersama penerima cek replika dan sijil penghargaan usahawan PERNAS serta penerima program tanggungjawab sosial korporat (CSR). - Gambar Roystein Emmor
Ripin bersama tetamu jemputan bergambar bersama penerima cek replika dan sijil penghargaan usahawan PERNAS serta penerima program tanggungjawab sosial korporat (CSR). - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) diharap dapat menyediakan peruntukan lebih besar untuk pembangunan usahawan francais di Sarawak.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat berkata, dalam tempoh 13 tahun bermula 2010, PERNAS telah menyediakan pembiayaan berjumlah RM19 juta untuk tujuan itu.

Justeru katanya, secara purata Sarawak menerima pembiayaan berjumlah lebih kurang RM1.4 juta setahun.

"Sehubungan itu, kalau boleh kita meminta untuk meningkatkan jumlah pembiayaan itu di mana kita dapat melihat pihak PERNAS menyasarkan RM5 juta untuk tahun 2023.

"Kalau boleh penglibatan usahawan menerusi pembiayaan RM5 juta itu seramai mungkin terutama golongan muda sama ada dari luar bandar mahupun bandar.

"Oleh itu, kita berharap PERNAS dan KUSKOP memberi peruntukan lebih kepada pembangunan usahawan francais di Sarawak," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bizfrancais@Sarawak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi PERNAS Datuk Hazimah Zainuddin, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PERNAS Datuk Abu Bakar As-Sidek Datuk Mohd Sidek dan Pengerusi Bussines Event Sarawak Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Openg.

Ripin berkata, kerajaan berusaha mengembangkan aktiviti perniagaan francais sebagai cara menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai, selain menjana pendapatan untuk negeri.

"Tidak kira (membuka franciais) sama ada di bandar mahupun luar bandar, ia terpulang kepadakebolehpasaran dan penerimaan masyarakat," tambah beliau.

Di Sarawak katanya, terdapat banyak produk berpotensi untuk dibangunkan untuk francais di mana di bawah PERNAS, terdapat satu program yang dinamakan Transformasi Perniagaan (BIT).

"Di bawah sistem itu, usahawan kecil-kecilan yang mempunyai potensi akan dibangunkan oleh PERNAS untuk mereka berkembang untuk menjadi francaisor," jelasnya.

Oleh yang demikian, Ripin berharap lebih ramai masyarakat berkecimpung dalam perniagaan francais.

"Setakat ini, terdapat tujuh jenama tempatan dalam proses BIT untuk menjadi francaisor iaitu dFRentz, Cendol Mami, Anas Popcorn, Abg K'Ju, Dofa, Dons's Burger dan Suzee.

"Selain itu, sebanyak 11 francaisor sudah terkenal di Sarawak yang terdiri daripada Sugarbun, Chickilicious, Taka Patisseries, Coffee O Corner, Singapore Chicken Rice, Go-Fun-Ke, Place2Stay Hotel, Allunique, Chicago-7, Sharing Planet dan Potato Story," jelasnya.

Ripin menjelaskan, terdapat 16 syarikat francaisor di Sarawak setakat 30 Mac 2023 dan industri francais di Sarawak tahun ini dijangka tumbuh antara 20 dan 30 peratus.

Mengenai kerajaan bersama Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan melabur RM1 bilion dana tambahan secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong teknopreneur, Ripin menjelaskan ia satu perancangan yang baik untuk dilaksanakan.

"Ia perancangan yang boleh membantu usahawan kita yang terlibat dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan mereka yang menggunakan teknologi dalam perniagaan.

"Ekonomi digital merupakan pemacu perniagaan untuk masa kini dan akan datang.

"Ia salah satu elemen utama yang akan mengembangkan semua sektor perniagaan. Cara tradisional pula memang masih digunakan, namun potensi untuk berkembang agak lambat," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement